16 Cara Rasulullah s.a.w Berpuasa Ramadan

Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik (uswatul hasanah) untuk kita ikuti dalam apa jua perkara. Antara perkara yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan dan wajar kita ikuti ialah:

1.Niat

Niat adalah perkara utama sebelum melakukan apa sahaja perkara lebih-lebih lagi melibatkan ibadah seperti puasa. Pada bulan Ramadan Nabi s.a.w berniat pada sebelah malam. Ia berbeza dengan puasa sunat yang niatnya boleh dilakukan pada sebelah siang. Sabda Baginda s.a.w. “Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari maka tiada puasa baginya.” (HR. An-Nasai, al-Baihaqi dan Ibnu Hazm.)

2.Beriktikaf

Kredit Gambar: Getty Images

Dari Ali r.a. menyatakan bahawa, Rasulullah s.a.w akan mengejutkan keluarganya pada sepuluh terakhir bulan Ramadan untuk beriktikaf. Ketika itu juga baginda s.a.w banyak melakukan perkara tersebut. Sementara Aisyah turut mengatakan perkara yang sama. Katanya, “Nabi s.a.w sentiasa beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan hingga akhir hayatnya.”

3.Ibadah Di Waktu Malam (Qiamullail)

Nabi  s.a.w sentiasa mengisi malam sepanjang bulan Ramadan dengan beramal ibadat seperti  solat tarawih dan membaca al-Quran secara istiqamah. Sabda Baginda s.a.w, “Sesiapa yang beribadah pada waktu malam pada bulan Ramadan dengan khusyuk dan ikhlas, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu.” (HR; Bukhari dan Muslim)

4.Banyak Bersedekah dan Bertadarus

Daripada ibnu Abbas katanya, “Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling dermawan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Ketika Jibrail menemuinya seperti biasa setiap malam bulan Ramadan, lalu bertadarus bersama baginda. Ketika ditemui, baginda menjadi seorang yang lebih bermurah hati sehingga lebih banyak memberi (seperti) tiupan angin. (HR. Bukhari dan Muslim)

5.Bersahur

Baginda s.a.w  melarang meninggalkan sahur, kerana ia mengandungi keberkatan. Anas bin Malik r. a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, “Bersahurlah kamu, sesungguhnya ia ada keberkatannya.”  (HR. Muslim).

Sabda Nabi s.a.w, “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah bersahur.” (HR. Muslim).

6.Melewatkan Imsak

Rasulullah s.a.w menggalakkan dilewatkan imsak sehingga akhir malam, sebaik-baiknya sebelum masuk waktu Subuh. Bagaimanapun, apabila sedang makan atau minum sahur, terdengar azan Subuh, ia boleh diteruskan dengan menyegerakan apa yang ada di dalam mulut atau di tangan, tanpa perlu dihentikan.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan Subuh, padahal bekas minuman ada di tangannya, maka janganlah meletakkannya sehingga dia selesai minum. (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah).

7.Menyegerakan Berbuka

Apabila yakin masuk waktu Maghrib, kita digalakkan agar segera berbuka puasa. Sahl bin Saad berkata, Nabi  s.a.w bersabda, “Firman Allah bermaksud, hamba-hamba-Ku yang lebih Aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa apabila tiba waktunya.” (HR.  Tirmizi dan Abu Hurairah).

Sabda baginda s.a.w lagi, “Umatku sentiasa berada dalam keberkatan selama mana mereka mempercepatkan berbuka apabila masuk waktunya dan melambatkan sahur (HR; Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).

8.Berbuka Sebelum Menunaikan Solat Maghrib

Rasulullah s.a.w makan sedikit makanan seperti kurma dan air, kemudian barulah mengerjakan solat Maghrib. Tetapi apabila makanan sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu. Tiga perkara yang diamalkan oleh Nabi s.a.w ialah, segera berbuka, mengakhiri sahur dan meletakkan tangan kanan di atas kiri dalam solat. (HR. Ath-Thabarani, hadist Mauquf)

9.Berbuka  Dengan  Kurma dan Air

Kredit gambar: Thayyiba

Kita digalakkan berbuka dengan kurma dengan bilangan ganjil iaitu satu, tiga atau lima. Jika tidak ada, makanlah apa saja makanan manis seperti kuih-muih dan buah-buahan. “Baginda s.a.w berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada, Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma kering. Jika itu tidak ada, Nabi s.a.w minum seteguk air.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Baihaqi, Hakim, Ibn Sunni, Nasai, Daruquthni dan lainnya)

10.Perbanyakkan Berdoa Ketika Puasa dan Berbuka

Kredit gambar: © Royalty-Free/Corbis

Ketika berbuka puasa adalah antara waktu yang mustajab. Ia banyak disebut dalam  hadis. Antaranya:

“Tiga orang yang tidak akan ditolak doanya ialah orang yang puasa ketika berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban)

Doa yang Nabi s.a.w ajarkan ketika berbuka puasa ialah, “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala. Insya-Allah.” (HR. Abu Daud, Baihaqi, Hâkim, Nasâi dan lain-lain)

11.Memberi Makan Orang Berpuasa

Rasulullah s.a.w menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang berpuasa meskipun hanya beberapa biji kurma atau segelas air. Sabda baginda s.a.w. “Sesiapa yang memberi makan orang berpuasa akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa berkurang sedikit pun  pahalanya. (HR. Ahmad, Tirmizi, ibnu Majah)

12.Bersederhana

Rasulullah s.a.w  sering menggalakkan umat Islam bersederhana dalam semua perkara. Jangan banyak tidur pada siang hari dan makan pada waktu malam. Bersederhana makan dan minum untuk menyelami erti sebenar berlapar dan dahaga.

Sabda Baginda s.a.w, “Takungan buruk yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya. Memadai beberapa suap untuk menguatkan tulang belakang. Jika dia enggan, maka berikanlah satu pertiga bahagian perutnya untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan. (HR. Ahmad dan Tirmizi).

13.Mempamerkan Akhlak Mulia

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk dan memperlihatkan akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa adalah perisai. Sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa, janganlah bercakap kotor, berteriak, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika orang lain mengejinya atau cuba memeranginya, hendaklah dia berkata, aku sedang berpuasa. (HR. al-Bukhari dan Muslim)

14.Memperbanyakkan Istighfar  Pada Malam-Malam Terakhir

Banyakkan istighfar dan bertaubat pada malam-malam terakhir Ramadan. Sabda baginda s.a.w; “Pada bulan Ramadan umatku diberi lima perkara yang tidak diberikan pada Nabi lain sebelumku. Pertama, bila datang awal Ramadan, Allah melihat mereka. Sesiapa dilihat Allah, selamanya tidak akan diazab. Kedua, bau mulut mereka pada siang hari di sisi Allah lebih harum dari bau kesturi. Ketiga, malaikat memohon keampunan untuknya siang dan malam. Keempat, Allah menyuruh syurga-Nya dengan firman-Nya, “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hamba-Ku. Kamu telah hampir waktu rehat daripada keletihan hidup di dunia dan kembali ke tempat-Ku dan rahmat-Ku.” Kelima, bila tiba akhir Ramadan, Allah mengampuni dosa mereka semua.” (HR. Ahmad, Baihaqi dan Al-Bazzar)

15.Pergiatkan Amalan Pada 10 Malam Terakhir

Kredit gambar: (AP Photo/Muhammed Muheisen)

Kita digalakkan untuk beramal pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, terutama pada malam-malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 atau 29 untuk bertemu dengan malam Lailatulqadar yang dikatakan lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr, ayat satu hingga tiga, bermaksud, “Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran pada Lailatulqadar. Tahukah kami apakah Lailatulqadar? Ia adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang beribadat pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosa yang lampau.

(Hadis riwayat Muslim)

16.Membayar Zakat

Zakat fitrah umpama ‘kenderaan’ agar ibadat puasa diterima oleh Allah. Sekiranya seseorang itu tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan orang dalam tanggungannya, sedangkan dia mampu melakukannya, maka pahala puasanya tidak diangkat ke langit.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Puasa Ramadan akan tergantung antara langit dan bumi melainkan selepas dia membayar zakat fitrah.”

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!