3 Masjid Bersejarah Sekitar Masjid Nabawi

Sekian lama, kota suci ini menjadi benteng perlindungan kepada umat Islam dalam mempertahankan keimanan mereka, khususnya ketika berdepan waktu-waktu yang sukar dan mencabar.

Kita mungkin boleh melancong ke banyak tempat lain, namun berada di kota suci Madinah sama sekali berbeza kerana perjalanan itu boleh disifatkan sebagai kembara iman. Ini kerana di sini turunnya wahyu al-Quran, masjid pertama dibina di sini dan di sini jugalah bersemadinya jasad Rasulullah s.a.w. Maka, atas faktor itulah umat Islam disarankan untuk mengunjungi Madinah yang menjadi tradisi terutama ketika melaksanakan ibadat haji dan umrah.

Masjid al-Ghamamah

Sebelum dibina masjid, tapaknya pernah Rasulullah s.a.w gunakan untuk melaksanakan solat sunat ‘id sewaktu tempoh-tempoh terakhir sebelum baginda wafat. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pada waktu itu menganjurkan solat sunat Aidilfitri diadakan di luar supaya kelompok wanita yang uzur boleh mendengar khutbah bersama-sama. Di lokasi ini jugalah Rasulullah s.a.w melakukan solat istisqa’ (solat minta hujan).

Sebagai bentuk penghormatan atas kebiasaan Rasulullah s.a.w mendirikan solat di situ, maka didirikanlah sebuah masjid yang kini dikenali sebagai masjid al-Ghamamah. Dinamakan sedemikian kerana diriwayatkan ada awan (ghamamah) yang memayungi Rasulullah s.a.w dari sinar matahari ketika baginda solat.

Kedudukan masjid ini adalah di sebelah timur Madinah, iaitu berhadapan dengan pasar tamar, atau  lebih tepat lagi, letaknya berdampingan dengan masjid Nabawi di sebelah barat. Dari arah bab- as-Salam, bila kita melihat ke arah barat akan terlihat masjid yang memiliki kubah-kubah kecil. Warnanya kelabu dan berkubah putih. Jaraknya hanya 500 meter dari bab as-Salam.

Masjid al-Ghamamah dibangun pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz di Madinah. Kemudian direnovasi oleh Sultan Mamalik, Hasan bin Muhammad Qalawun Ash-Shalibi pada tahun 761H.

Pada masa Sultan Inal (tahun 861H) dilakukan penambahbaikan. Kemudian Sultan Abdul Majid 1 melakukan penambahbaikan secara sempurna seperti yang kelihatan pada hari ini.

Masjid Abu Bakar

Masjid Abu Bakar berjarak hanya sekitar 335 meter dari masjid Nabawi. Terdapat dua versi yang menceritakan tentang latar belakang sejarah pembangunan masjid ini. Versi pertama menceritakan bahawa di lokasi berdirinya masjid ini pernah didirkan solat sunat ‘id. Manakala versi kedua pula mengatakan bahawa tapak berdirinya masjid ini adalah merupakan lokasi kediaman Abu Bakar As-Shidiq r.a.

Disebabkan pentingnya lokasi ini dan menjadi lokasi bersejarah untuk umat Islam, maka pembangunan masjid dilakukan di atas tapaknya.

Masjid ini memiliki luas sekitar 19.5 x 15 meter. Dibangunkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada tahun 50H. Kemudian disambung pembangunannya oleh Sultan Mahmud Khan al-Uthmani (Sultan Mahmud 11) pada sekitar tahun 1240H – 1250H.

Penambahbaikan telah dilakukan oleh Raja Fahd pada tahun 1411H tanpa mengubah bentuk asal masjid.

Masjid Ali bin Abi Thalib

Masjid Ali bin Abi Thalib terletak di sebelah Barat Masjid Nabawi. Jaraknya sekitar 290 meter dari masjid Abu Bakar dan sekitar 122 meter dari Masjid al-Ghamamah.

Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w pernah solat ‘id di sini, sementara riwayat lain pula menyebut, di lokasi inilah letaknya kediaman khalifah Ali bin Abi Thalib.

Masjid ini dibangun pada masa Umar bin Abdul Aziz memerintah Madinah. Kemudian dilakukan pembaikan oleh Gabenor Daigham al-Manshuri, Gabenor Madinah pada tahun 881H. Setelah itu dilakukan pemulihan oleh Sultan Abdul Majid 1 pada tahun 1269H.

Akhir sekali dilakukan penambahbaikan oleh Raja Fahd pada tahun 1411H sehingga luasnya mencapai 686 meter persegi dengan menara setinggi 26 meter. Namun saat ini masjid ini telah dipagar tinggi dan tidak boleh dimasuki untuk bersolat.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!