3,000 Bubur Lambuk Dan Bubur Manis Diedarkan Kepada Warga PDRM

Buat julung kalinya, Program Amal Manisnya Ramadan 1.0 anjuran SAJILIBUR yang ditaja oleh MSBS Bank Berhad dengan kerjasama Masjid Bukit Aman, ADABI, PETRON, SAJI, ADELA dan BERNAS diadakan di Masjid Bukit Aman pada 29 Mei lalu. Sebanyak 3,000 bubur lambuk dan bubur manis telah diserahkan kepada anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Pemilihan Masjid Bukit Aman berserta agihan bubur lambuk dan bubur manis kepada anggota PDRM adalah bertujuan untuk menghargai, sekali gus tanda terima kasih terhadap mereka yang banyak berbakti kepada masyarakat dalam mengekalkan keharmonian menjaga keamanan negara.

Manakala penganjuran Program Amal Manisnya Ramadan 1.0, merupakan satu program amal tahunan yang bakal diadakan pada setiap bulan Ramadan bertujuan untuk memangkin dan melahirkan masyarakat yang bersifat penyayang  serta pemurah, yang amat dituntut dalam agama khususnya Islam. 

Pada program tersebut, sebanyak 10 periuk bubur iaitu lima bubur lambuk dan lima bubur manis telah disediakan secara gotong-royong oleh wakil-wakil penaja dengan kerjasama anggota PDRM.

Selain daripada anggota PDRM Bukit Aman, bubur lambuk dan bubur manis juga turut diedarkan kepada anggota PDRM di IPD Brickfields, IPD Dang Wangi dan IPD Sentul, selain jemaah Masjid Bukit Aman bagi tujuan berbuka puasa.

Majlis simbolik penyerahan bubur lambuk dan bubur manis dihadiri oleh Pengerusi Masjid Bukit Aman, DCP Datuk Hj. Hashim Hj. Ali; Timbalan Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Shafien Hj. Mamat;  Setiausaha Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin, selain wakil-wakil daripada IPD yang terlibat.

MENJADI AKTIVITI TAHUNAN

Pengurus Operasi SAJILIBUR, Ahmad Nasaruddin Abdul Rahman, berkata, program Amal Manisnya Ramadan ini akan menjadi aktiviti tahunan yang bakal dianjurkan oleh SAJILIBUR setiap kali tibanya bulan Ramadan.

“Selain itu, kami juga turut mengadakan beberapa program amal selain pada bulan Ramadan. Pihak SAJILIBUR sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak luar untuk turut serta bersama kami dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat di masa akan datang.

“Untuk Program Amal Manisnya Ramadan 1.0 ini, kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak penaja yang banyak menyokong dan turut bersama dalam menjayakan aktiviti sebegini. Moga kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang. Insya-Allah,” ujarnya.

Program Amal Manisnya Ramadan 1.0 ini telah mendapat tajaan wang tunai bernilai RM10,000 daripada MBSB Bank Berhad, selain menerima tajaan barangan memasak daripada pihak ADABI, PETRON, SAJI, ADELA dan BERNAS. 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!