5 Makanan ‘Ikonik’ & Enak Di Brunei

Setiap negara pasti punya makanan tradisi yang diwarisi daripada generasi demi generasi. Itulah kebanggaan yang dimiliki dan wajar dipertahankan meski perubahan waktu sentiasa beredaran. Jika bukan kita, siapa lagi?

Di Brunei, terdapat pelbagai makanan tradisi yang sehingga kini kekal dipelihara bukan saja untuk rakyatnya, bahkan menjadi ‘selera’ wajib buat pelancong jika berkunjung ke sana. Walaupun makanan ini ada yang anda boleh peroleh di Sabah dan Sarawak, namun tidak salah jika anda mencari sedikit kelainan rasanya di Brunei.

1. Ambuyat

Ambuyat adalah hidangan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat Brunei. Ia adalah campuran kanji dan air panas yang dikacau sehingga likat dan jernih.

Ambuyat kebiasaannya dimakan menggunakan kayu penyepit yang dikenali sebagai candas. Rasanya yang tawar akan menjadi lebih enak jika dicecah bersama kuah yang masam dan pedas. Sudah menjadi kebiasaan, ambuyat dimakan dengan cara terus menelannya tanpa perlu dikunyah.

2. Nasi Katok

Nasi Katok Brunei lebih ringkas berbanding Nasi Lemak di Malaysia. Ia dihidangkan dengan nasi putih, seketul ayam goreng dan sambal.  Asal nama Nasi Katok ini dikatakan terhasil apabila pembeli harus mengetuk pintu penjual nasi untuk membuat pesanan.

Lama-kelamaan, nama Nasi Katok terus popular dan menjadi salah satu hidangan kegemaran masyarakat tempatan. Namun perkara yang menjadi luar biasa bagi Nasi Katok adalah harganya yang begitu murah iaitu hanya BND1 (*RM3) sebungkus!

3. Kelupis

Kelupis dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan yang dibalut mengunakan daun Nyirik. Secara tradisional, dalam budaya Bisaya, Kelupis kebiasaannya dihidangkan makanan ringan ketika majlis perkahwinan atau majlis khas.

Terdapat banyak variasi Kelupis, ada yang disajikan bersama udang kering dan ada juga yang disertakan bersama ikan bilis.Tetapi, ia masih boleh dimakan begitu sahaja kerana rasanya manis berlemak, terutamanya jika dimakan bersama kacang atau kari.

4. Pulut Panggang

Brunei juga terkenal dengan pulut panggang. Berbeza dengan penyediaan Kelupis yang dikukus, pulut panggang perlu dibakar. Ia dibuat menggunakan beras pulut dan intinya dihasilkan daripada udang atau kelapa.

Brunei Tourism menyarankan, jika ingin Pulut Panggang yang dijamin enak dan popular, boleh berkunjung ke restoran Cina iaitu Mei Fang di Tutong. Namun seeloknya datang awal kerana Pulut Panggang di sini dikatakan akan habis dijual seawal 8.30 pagi!

5. Bamboo Chicken

Hidangan unik yang kaya dengan elemen aromantik ini sudah lama menjadi hidangan tradisi masyarakat Borneo dan bagi komuniti rumah panjang Iban. Kini ia sudah menjadi makanan yang cukup popular kerana rasanya yang cukup enak bersama cara penyediaan begitu unik.

Ayam yang telah diperap akan dimasukkan ke dalam buluh, disumbat bersama bawang dan rempah-ratus lain sebelum ditutup dengan daun buluh. Seterusnya, ia terletak di atas api terbuka dan ketika inilah aroma masakan ayam yang dimasak sempurna akan menguji kesabaran anda untuk mencubanya bersama nasi panas.

Kredit: Brunei Tourism

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!