6 Fakta Saintifik Kenapa Perlu Bawa Anak Bercuti

Percutian bersama anak-anak bukan sahaja sangat menyeronokkan, bahkan ia juga dapat membantu perkembangan minda dan emosi anak-anak. Kenapa perlu bawa anak-anak pergi bercuti?

Ini sebab saintifiknya. Cuba fikir, sebenarnya ada logiknya.

1.Mencipta Memori Zaman Kanak-Kanak

Keseronokan bercuti boleh merangsang minda positif dalam diri anak-anak.

Berdasarkan kajian oleh Family Holiday Association di United Kingdom, hampir separuh daripada warga Britain, iaitu 49% daripada responden yang mengambil bahagian dalam kajian ini menyatakan bahawa memori yang paling terindah dalam hidup mereka adalah memori ketika bercuti bersama ahli keluarga.

Jadi, sesibuk mana pun anda, jangan lupa untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Bawalah mereka pergi bercuti dan berseronoklah. Anak-anak pasti akan suka dan mengingatinya sampai bila-bila.

2.Mengasah Kemahiran Berfikir

Bercuti dapat mengasah kemahiran berfikir anak-anak.

Aktiviti yang dilakukan semasa bercuti dapat mengaktifkan sel-sel penting di dalam otak anak-anak. Misalnya, sewaktu berenang dan bermain di kolam atau pantai, membina istana pasir, bermain di taman tema dan sebagainya, anak-anak bukan sahaja merasai keseronokan malah dapat merangsang pemikiran ‘bermain’ (play system).

Kajian oleh Professor Jaak Panksepp dari Universiti Washington State mendapati, sistem bermain ini sangat penting untuk kanak-kanak kerana ia boleh meningkatkan kebolehan berfikir dan bermain dengan idea.

3.Melahirkan Anak BerIQ Tinggi

Mood kanak-kanak akan bertambah baik apabila dibawa bercuti.

Apabila anak-anak keluar dari ruang terhad mereka seperti di rumah atau dari rutin kebiasaan, mereka akan terdedah dengan pelbagai jenis persekitaran, bergantung kepada tempat dan suasana percutian. Contohnya, bercuti ke tempat peranginan, pulau, taman tema dan sebagainya akan memberi pengalaman istimewa kepada anak-anak.

Menurut laporan dari Gunnel pada 2015, kepelbagaian persekitaran ini akan memberikan sumber interaksi dari segi fizikal, sosial, sentuhan dan pemikiran kepada kanak-kanak. Ia merangsang fungsi di bahagian hadapan otak (frontal lobe) dan mengasah konsentrasi perhatian dan kemahiran untuk belajar. Secara tidak langsung, kanak-kanak ini akan menjadi lebih bijak berbanding mereka yang hanya duduk terperap di rumah.

4.Mengurangkan Hiperaktif Di Kalangan Kanak-Kanak

Bercuti juga dapat membantu meningkatkan kadar perhatian dan fokus anak-anak.

Jika anak anda seorang yang hiperaktif atau didiagnos menghidap ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), rawatan yang paling mudah adalah dengan membawa mereka pergi bercuti. Selain dapat merapatkan hubungan antara anak dengan ibu bapa, ia juga dapat membantu meningkatkan kadar perhatian dan fokus mereka.

Kajian oleh Frances E.Kuo (PhD) yang diterbitkan dalam jurnal perubatan menunjukkan bahawa alam semulajadi yang serba hijau dapat mengurangkan kadar hiperaktif di kalangan kanak-kanak.

Jadi, lokasi nyaman dan hijau seperti di Cameron Highlands dan Janda Baik antara persekitaran hijau yang dapat membantu untuk menenangkan anak anda.

5.Meningkatkan Kesihatan Fizikal Anak-Anak
Hasil kajian oleh pakar dari Universiti Michigan di Amerika Syarikat menunjukkan, berjalan bersama orang yang disayangi di persekitaran yang indah dan nyaman seperti di pantai, desa dan sebagainya dapat menenangkan minda, menghentikan tekanan depresi, menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan kadar kolesterol.

Sebab itu apabila seseorang sedang stres apabila dibawa keluar berjalan-jalan moodnya akan menjadi bertambah baik dan jiwanya tenang. Kesan sebegini juga akan dirasai oleh anak-anak apabila ibu bapa membawa mereka pergi bercuti.

6.Melahirkan Anak Yang Positif Dan Gembira

Keseronokan bercuti pasti akan menjadi momen yang sangat indah untuk anak anda.

Percutian bersama keluarga yang menyeronokkan akan mencetuskan pengeluaran bahan neurokimia yang bermanfaat daripada otak anak anda. Oksitoksin, dopamin dan opiod merupakan beberapa neurokimia yang akan dicetuskan ketika seseorang merasai keseronokan semasa percutian. Ia bukan sahaja dapat memberikan rasa gembira kepada anak-anak, malah dapat mengurangkan rasa tekanan serta melahirkan perasaan tenang kepada jiwa mereka.

 

Menurut Professor Jaak Panksepp dari Universiti Washington State, semakin banyak neurokimia dicetuskan, semakin ia menjadi sebahagian daripada personaliti dan karakter anak tersebut. Percutian yang selalu berlaku saban tahun pasti akan lama kelamaan menghasilkan seorang anak yang bukan sahaja pintar dan sihat tubuh badan malah sentiasa berfikiran positif dan gembira. Malah pakar neurosaintis, Bruce Perry, turut menambah, keadaan emosi seseorang akan menjadi personaliti dirinya. Dalam hal ini, ia akan membentuk personaliti yang positif dalam diri anak-anak.

 

Jadi, dengan melihat kepada penerangan saintifik di atas, banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh  anak-anak apabila membawa mereka pergi bercuti.

Sudah tiba masanya untuk anda laburkan sedikit wang untuk membawa mereka pergi bercuti. Jangan terlalu membiarkan anak-anak berseronok bermain alatan gajet, sebaliknya bawalah anak anda pergi bercuti dan biarkan mereka merasai keseronokan secara alami. Kalau boleh bawalah ibu dan bapa anda sekali kerana ia juga boleh memberi manfaat untuk kesihatan mereka di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

 

Sumber: The Asian Parent