Apa Kaitan Sejarah Kemerdekaan Dengan 5 Hotel Ini? Harus Anda Kunjungi.

Hari Kemerdekaan Malaysia bakal menjelang tiba, apa kata kita sambut kehadirannya dengan bercuti di hotel-hotel bersejarah yang boleh memberikan kita sedikit gambaran tentang sejarah kemerdekaan negara ini.

Sebagai tanda penghormatan, Agoda menyenaraikan beberapa buah hotel bersejarah di Malaysia yang harus dikunjungi sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos ini.

Merentas masa ke zaman silam dengan hotel yang melaungkan ‘Merdeka’!

Menjelang Merdeka, Hotel Federal pasti akan terbayang dalam fikiran. Dikenali sebagai hotel yang melaungkan ‘Merdeka!’ pada hari bersejarah tersebut, hotel ini bukan sekadar sebuah hotel, malahan ia merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan negara.

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur di kawasan Bukit Bintang, Hotel Federal adalah hotel bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia, dibuka tiga hari sebelum pengisytiharan kemerdekaan negara kita.

Pembukaan hotel ini adalah tepat pada masanya bagi menyaksikan dan menandakan detik bersejarah Persekutuan Tanah Melayu dikembalikan kepada rakyat oleh pihak British. Tetamu terawal yang menginap di hotel ini adalah terdiri daripada orang-orang kenamaan asing yang hadir untuk menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.

Hotel ini telah menjadi sebahagian dalam sejarah negara yang penting dan seharusnya dikunjungi sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Melangkah ke zaman silam yang mempesonakan di tapak warisan kebangsaan

Kenali salah sebuah tapak warisan kolonial di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Bangunan kolonial ini dibina pada tahun 1932, termasuk Hotel Majestic asal yang masih tersergam indah sehingga hari ini. Ia merupakan antara hotel yang terhebat pada zaman tersebut dan telah diwartakan sebagai sebuah tapak warisan kebangsaan.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada pihak British, hotel ini merupakan sebuah ikon zaman kegemilangan Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Ia bukan sahaja digunakan untuk majlis keramaian penuh glamor dan resepsi kerajaan, malah turut dijadikan tempat penginapan tetamu kenamaan antarabangsa.

Di hotel inilah, mesyuarat pertama yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan telah diadakan untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, sebuah parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Menjenguk di jendela hotel bersejarah yang kekal teguh selepas dua Perang Dunia

Kunjungilah Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai ‘Pulau Mutiara’ untuk mengenali lebih dekat pusat perdagangan British yang pertama di Timur yang pernah menjadi tumpuan pedagang dan pelaut sebelum kemerdekaan negara.

Beroperasi lebih daripada 100 tahun, Hotel Eastern & Oriental telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah. Antaranya adalah dua Perang Dunia, zaman kegemilangan Empayar British dan kelahiran negara Malaysia yang berdaulat.

Walaupun ia telah banyak melalui perubahan masa, Hotel Eastern & Oriental ini masih mengekalkan pesona aslinya yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

Khazanah seni bina abad ke-19 dengan sentuhan British

Imbau memori zaman dahulu kala di Hotel Muntri Grove, sebuah hotel di Pulau Pinang yang pada asalnya merupakan kuarters penginapan orang gaji kepada keluarga-keluarga berada pada abad ke-19. Pada masa itu, ia adalah sebuah bangunan sederhana yang berbumbung rendah dan mempunyai ruang penginapan yang kecil dengan hanya dua bilik di dalam setiap unit.

Hotel ini masih menggambarkan pengaruh British yang halus sejak zaman ia dibina. Walaupun ia telah dibaik pulih pada tahun 2013, rangka seni bina asal bangunan ini telah dikekalkan untuk memelihara keasliannya.

Hotel ini mempunyai kisah lampau yang unik di mana sebahagian bangunan ini telah dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua. Bahagian yang rosak tersebut telah dibina semula untuk di jadikan kolam renang dan kawasan meyambut tetamu.

Jatuh cinta dengan keanggunan era silam yang penuh dengan kekayaan budaya

Jelajahi pesisiran pantai di Melaka dengan menginap di Boutique Hotel Gingerflower, yang pada asalnya merupakan sebuah rumah bandar Peranakan yang telah dibaik pulih dengan menarik. Hotel ini dilindungi sebagai Warisan Dunia UNESCO serta menawarkan pengalaman budaya dan seni bina abad ke-19 kepada para tetamunya.

Seni bina hotel ini adalah satu peninggalan unik dari era “Timur bertemu Barat” yang menggandingkan dua budaya yang berbeza iaitu Belanda dan Peranakan. Sebuah telaga yang menjadi satu-satunya sumber air kepada penghuni-penghuni rumah ini dan penting bagi kehidupan Peraranakan zaman dahulu masih dipelihara dalam keadaan asal sehingga sekarang.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!