Cita Rasa 6 Sekawan Di Bufet Ramadan Hotel Concorde KL

Tema: Cita Rasa 6 Sekawan

Lokasi: Hotel Concorde Kuala Lumpur, 2, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

Harga Bufet: Dewasa RM138.00 | Kanak-kanak 5 – 12 tahun RM69.00

Tempahan: 03-27172233

Bufet Ramadan bermula: 6 Mei hingga 4 Jun 2019

Menyajikan lebih 160 jenis juadah, merangkumi hidangan tradisional seperti ikan bakar percik dan rendang daging sehingga kepada masakan India, Cina dan Jepun, Melting Pot, Hotel Concorde Kuala Lumpur adalah antara lokasi berbuka puasa yang berbaloi untuk anda.

Seiring dengan temanya iaitu Cita Rasa 6 Sekawan, semua masakan yang disajikan di Melting Pot sepanjang bulan puasa ini menggunakan rempah ratus enam sekawan. Lada hitam, buah keras, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis digunakan sama ada secara bersama atau berasingan.

Melihat pada ‘hamparan’ menu yang disajikan, pasti akan membuatkan anda rambang mata untuk memilih juadah berbuka. Sebagai menu pertama berbuka, anda boleh memilih tamar, aprikot kering atau bubur lambuk.

Kemudian, nikmati pula pilihan makanan laut yang segar seperti udang, tiram, kepah hitam, ikan salmon, sushi dan sashimi. Terdapat lapan stesen ‘live cooking’ termasuk teppanyaki, roti john, tosai dan pemanis mulut seperti onde-onde dan apam balik yang dibuat secara ‘a la minute’.

Jangan ketinggalan untuk merasai keaslian masakan Melayu seperti siput sedut masak lemak daun kunyit, ikan bawal masak kicap berempah, asam pedas ikan tenggiri, ikan patin tempoyak, sambal ikan bilis petai dan ikan bakar percik.

Cuba juga hidangan lain yang sememangnya enak antaranya rojak buah, kek ikan Thai, kari merah daging dengan buah, ikan kukus ala Thai, kambing varural, ayam mentega, nasi tomato, siew mai ayam, cendawan tumis dengan tauhu lembut, udang harimau dengan telur masin dan oat serta lala kam heong.

Bagi peminat masakan Padang, terdapat pilihan menu seperti gulai ikan masak lemak, gulai sayur kapau, ayam pop, daging dendeng kering berlado merah, sambal kentang ikan bilis tempe dan sotong kalio.

Namun, jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan sup gearbox, sup tulang rawan, tomyam makanan laut, kari kepala ikan, ayam panggang Thai serta kambing panggang.

Banyak betul pilihan menu yang memukau bukan? Jadi untuk membolehkan perut merasai keenakan juadah ini, petuanya mudah! Ambil setiap hidangan dalam kuantiti kecil, cukup sekadar anda merasainya. Maka lebih banyak menu yang boleh anda cuba.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!