Dahsyatnya Doa Sebelum Berbuka dan Bersahur.

Ada suatu waktu yang mustajab untuk berdoa pada bulan Ramadan. Doa tersebut tidak akan ditolak oleh Allah swt, iaitu doa saat menjelang berbuka puasa dan menjelang makan sahur.

Sebab itulah di Mekah dan Madinah, satu jam sebelum azan maghrib, orang ramai akan menadahkan tangan ke langit berdoa kepada Allah swt memohon diberi kemudahan dari segala hajat, baik hajat dunia mahu pun akhirat. Mereka berdoa dengan penuh syahdu dan sepenuh keyakinan sehingga air mata mengalir deras.

Tetapi, suasananya jauh berbeza di negara kita. Kebanyakan umat Islam kita tidak mempedulikan waktu mustajab ini. Mungkin disebabkan ramai yang tidak mengetahuinya atau tahu tetapi mengabaikannya. Mereka lebih suka menghabiskan masa pada waktu yang mustajab ini dengan sibuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan, menyiapkan hidangan berbuka di dapur, leka menonton rancangan televisyen dan berbual-bual kosong hingga menjelang azan maghrib. Bagi mereka cukup sekadar berkumpul menghadapi hidangan berbuka dan cukup sekadar membaca doa berbuka “Allahumalakasumtu… atau dzahaba zhoma’u… padahal ucapan tersebut hanya sekadar ucapan syukur sahaja.

Amat rugi sekali, peluang keemasan yang Allah swt kurniakan kepada kita setahun sekali itu dipersia-siakan begitu sahaja. Sedangkan kedua-dua waktu ini sangat mustajab untuk berdoa kerana waktu yang sangat berkat. Dan ketika ini doa-doa mudah dikabulkan oleh Allah swt.

Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.” (HR Ibnu Majah)

Manakala dalam hadis lain pula Nabi SAW bersabda, “Makan sahurlah kamu kerana dalam makan sahur terdapat keberkatan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dalam kita sibuk menyediakan juadah berbuka, pastikan kita luangkan masa sekitar 3-5 minit sebelum masuk waktu berbuka menadahkan tangan dan berdoa kepada Allah swt.

Jom, sama-sama kita amalkan doa ringkas ini setiap kali berbuka puasa. Cadangan doa ini sebagai panduan sahaja, boleh diubah mengikut hajat masing-masing.

Cadangan doa ketika berbuka puasa dan bersahur :

  1. Mohon dimudahkan segala urusan
  2. Sentiasa beroleh rahmat dan keberkatan Allah
  3. Lapangkan dada
  4. Kekalkan serta bertambah iman
  5. Sihat tubuh badan
  6. Jauhi segala penyakit
  7. Mati yang baik
  8. Murah rezeki
  9. Anak-anak berjaya
  10. Perkerjaan dan perniagaan yang diberkati
  11. Mudah bayar hutang
  12. Dikurniakan anak yang soleh dan solehah
  13. Ampunkan dosa
  14. Diterima taubat
  15. Jauh azab kubur
  16. Dilapangkan kubur
  17. Jauh dari azab neraka
  18. Ibadat diterima
  19. Mendapat syafaat Nabi saw
  20. Terima kita amal dengan tangan kanan
  21. Selamat meniti titian sirat
  22. Syurga firdaus
  23. Selamat dari fitnah dunia dan fitnah Dajal
  24. Ketenangan hati
  25. Mendoakan kedua ibu bapa
  26. Keluarga yang mendirikan solat
  27. Diterima segala amalan dan puasa di bulan Ramadan
  28. Bertemu malam lailatulqadar

Marilah sama-sama kita rebut peluang keemasan yang diberikan oleh Allah swt ini.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!