DULU UMPAMA ‘TEH TARIK’, KINI INDAH DI MATA DUNIA

Rugi jika anda penduduk sekitar Kuala Lumpur dan Selangor andai tidak pernah berkunjung ke mercu ikonik ibu negara. Dikenali dengan nama Kolam Biru, River of Life, sungai yang dahulunya berwarna umpama ‘teh tarik’, kini bertukar wajah dengan rona kebiruan hasil daripada pancaran neon biru yang menghiasi tebing Sungai Gombak dan Sungai Klang ini.

Pertama kali berkunjung ke Kolam Biru, River of Life yang terletak berdekatan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad ini sememangnya cukup mengujakan. Memandangkan ia kawasan terbuka dan tiada bayaran dikenakan. Untuk parkir usah risau, anda boleh meletakkan kenderaan di kawasan yang telah disediakan sekitar Dataran Merdeka.

Untuk menikmati keindahannya, gunakan kudrat anda untuk berjalan kaki mengelilingi Kolam Biru sepanjang 10.7 kilometer ini. Pemandangannya memang cukup cantik. Ada juga ikan kap yang dipelihara di dalam beberapa kolam kecil di tepi sungai. Lebih menarik, pancuran air mengikut irama muzik menambahkan lagi keasyikan keindahan malam di Kuala Lumpur.

Maka tidak hairanlah jika ‘River of Life Kuala Lumpur’ ini telah disenaraikan oleh Independent UK dalam 10 daerah mercu persisiran atau ‘Waterfront District’ yang paling menarik di dunia!

Sambil berswafoto dan bergambar bersama keluarga, anda juga boleh menyaksikan pelbagai persembahan menarik daripada busker, pelukis karikatur dan juga telatah badut yang pastinya mencuit hati. Berbaloi untuk anda mengisi masa hujung minggu bersama keluarga. Tak perlu untuk menulis panjang, apa kata anda menikmatinya sendiri. Tapi ingat, jangan pula berkunjung pada siang hari, memang tak muncul lah cahaya biru yang anda harapkan itu!