Farm In The City, Petting Zoo Terbesar Di Malaysia

Mencari tempat percutian yang nyaman dan mendamaikan. Dekat dengan alam semulajadi sambil dipenuhi oleh haiwan-haiwan comel dan jinak?

Ayuh kita ke Farm In The City!

Farm In The City merupakan salah satu destinasi percutian yang semakin popular serta dekat di hati kanak-kanak dan pencinta haiwan. Terletak di Taman Equine, Seri Kembangan, lokasinya strategik ini mudah diakses kerana kedudukannya di pertengahan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Farm In The City merupakan sebuah petting zoo terbesar di Malaysia. Terdapat lebih dari 100 spesies haiwan ternakan dan 300 jenis spesies burung ditempatkan di sini. Dari jenis haiwan ternakan yang biasa sampailah jenis haiwan ternakan eksotik dan ‘rare’ ada dipamerkan. Ia boleh diibaratkan seperti syurga haiwan ternakan. Malah, baru-baru ini Farm In The City telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Record sebagai petting zoo yang memiliki paling banyak haiwan ternakan yang dipamerkan di Malaysia.

Petting zoo ini bukanlah seperti zoo biasa. kalau nak tengok haiwan liar seperti harimau, buaya, gajah dan sebagainya bukan di sini tempatnya. Di Farm In The City ini hanya ada haiwan-haiwan yang boleh dipelihara, dimain dan dibelai.

Menariknya tentang Farm In The City, ia berkonsepkan Typical Malaysian Kampung. Suasana dan persekitarannya tak ubah seperti sebuah kampung. Nyaman dan sangat mendamaikan. Walaupun cuaca panas tetapi tidak terasa teriknya kerana dikelilingi oleh pokok-pokok. Terdapat lebih 60 jenis pokok-pokok dan buah-buahan ditanam di sini.

Harga tiket masuk dijual pada harga RM37 untuk seorang dewasa dan RM30 untuk seorang kanak-kanak. Kanak-kanak kurang 90cm masuk adalah percuma.

Haiwan di dalam Farm In The City ini kebanyakannya dilepaskan bebas tetapi masih dalam kandang yang luas. Pengunjung dibenarkan untuk beri makan, berpelukan dan berselfie dengan haiwan-haiwan yang ada. Terdapat juga sangkar burung yang sangat besar menempatkan pelbagai jenis spesies burung di dalamnya.

Kanak-kanak pasti teruja dapat memberi makanan kepada haiwan-haiwan comel ini. (Sumber: KL Foodie)

Terbahagi kepada 11 habitat iaitu, Mood’ Lake, Turtle & Tortoise Farm, Bird Aviary, Reptile Cavern, Rabbit Farm, Pets Village, Jungle Walk, Vegetable & Fruit Farm, Savannah, Longkang Fishing dan Kampong Mahmood.

Habitat Savannah adalah stesen yang wajib untuk dikunjungi kerana terdapat banyak tarikan di situ. Antaranya falabella horses, wallaby kangaroos dan racoon. Tarikan utama di sini sudah semestinya alpacas. Spesis ini belum pernah ada di mana-mana zoo di Malaysia. Bulunya agak tebal sebab asalnya dari Amerika Selatan yang mana habitat asalnya bawah 24 darjah selsius. Sebab itu kandangnya berhawa dingin.

Alpacas, haiwan berasal dari Amerika Selatan ini menjadi tarikan untuk pengunjung datang ke sini.

Menariknya, semua makanan haiwan di sini disediakan secara percuma. Untuk memberi makan haiwan-haiwan ini, anda hanya perlu minta saja pada staf yang bertugas. Cuma makanan ikan sahaja yang perlu dibeli. Harganya pun tidaklah terlalu mahal, hanya RM2 sahaja sebungkus.

Haiwan-haiwan di sini semuanya mesra dan jinak. (Sumber: Farm In The City on FB)

Ular pun ada tau! Tapi jangan risau kerana ular-ular ini diletakkan di dalam kaca. Manalah tahu, jika anda teringin memegang dan bergambar dengan ular, ada disediakan ular kecil dan tidak berbisa untuk tujuan itu.

Longkang Fishing pula, bagaikan mengamit kembali kenangan di zaman kecil menyauk ikan di dalam longkang. Anak anda pasti seronok kerana dapat merasai pengalaman itu. Airnya jernih sehingga ikan-ikan di dalamnya boleh dilihat dengan sangat jelas.