Gelongsor Air Terpanjang Dunia, Tarikan Terbaharu Taman Tema Escape

Beriadah di taman tema adalah aktiviti yang bukan saja dapat meredakan stres, bahkan menjadi medium untuk kita bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan. Lantaran itu tidak hairanlah jika taman tema sering menjadi lokasi pilihan ramai sepanjang cuti hujung minggu mahupun kala musim cuti persekolahan.

Bagi pengunjung setia taman tema, sudah tentu pernah melalui pengalaman penuh mengujakan di Taman Tema Escape yang terletak di Teluk Bahang, Georgetown, Pulau Pinang ini. Dibuka pada pertengahan 2013, Taman Tema Escape merupakan salah satu taman tema terhebat di Malaysia.

Kemeriahan lebih 40 tarikan utama di taman tema ini misalnya meneroka terowong, memanjat pokok, flying fox dan kite flyers di Adventureplay dan water slide, lazy river, speed racer dan waveball di Waterplay, pasti sukar dilupakan.

Kredit foto: YouTube

Apa yang lebih menarik, taman tema ini bakal membuka satu lembaran baharu buat para pengunjung, apabila gelongsor air yang dijangka menjadi terpanjang di dunia akan dibuka pada Ogos ini. Hebat bukan!

Sehingga kini, gelongsor air sepanjang 1,140 meter dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada fasa ketiga, hujung bulan depan. Ia sekali gus akan mengatasi rekod dunia 602 meter milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.

Keunikan Tersendiri

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape, Sim Choo Kheng kepada media, gelongsor air yang dibina menghubungkan Adventure Play dan Water Play itu kini sudah berada dalam fasa ketiga iaitu di Gravity Play.

Kredit foto: hmetro.com.my

Dari puncak bukit, pengunjung akan menggelongsor ke bawah dan menyeberangi Jalan Teluk Bahang di sebelah jambatan gantung dan berakhir di kolam renang taman tema air. Puncak bukit akan menjadi permulaan bagi gelongsor (ride) yang lain seperti luge (sleds menuruni bukit), zip coasters dan tiub gelongsor.

Bagi membawa pengunjung ke puncak bukit, satu laluan kereta kabel turut dibina dan dijangka siap dalam tempoh masa yang sama.

Kereta kabel sepanjang 400 meter dengan 30 kerusi tersebut akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu. Satu keunikan menaiki kereta kabel ini adalah pengunjung akan dibawa merentasi kawasan hutan yang menghijau.

Selain gelongsor terpanjang ini, taman tema itu juga telah mempunyai satu gelongsor air sepanjang 300 meter yang dilancarkan pada 2018.

Kredit foto: YouTube

INFO ESCAPE

Taman tema ini dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang. Tiket masuk walk-in bagi kanak-kanak (4 hingga 12 tahun) dan warga emas (61 tahun ke atas) adalah RM97.00, manakala dewasa (13 hingga 60 tahun) ialah RM147.00.

Namun untuk mendapatkan potongan harga yang menarik, anda boleh membuat tempahan tiket lebih awal. Maklumat lanjut mengenai harga tiket dan aktiviti lain di Taman Tema Escape, sila layari laman sesawang www.escape.my.

Tunggu apa lagi! Inilah masanya untuk anda ‘mencari’ aktiviti keriangan buat keluarga, sambil-sambil relakskan minda! Jom bercuti.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!