Hamil Bukan Halangan Untuk Bercuti

Menikmati percutian kala berbadan dua bukanlah satu masalah besar. Ia menjadi mudah dan realistik sekiranya anda bijak mengatur perancangan serta jadual percutian.

Namun, meski teruja aktiviti percutian, ia jangan keterlaluan sehingga menjejaskan kondisi kesihatan diri ketika hamil. Jangan sampai keseronokan bertukar tragedi yang memenatkan!

Foto: bendandblossom.com

Bagi anda yang sedang hamil tetapi tetap ingin meneruskan percutian, beberapa tip ini mungkin boleh dijadikan panduan. Mudah dan yang penting melindungi kesihatan diri anda.

1. Destinasi Yang Sesuai

Perjalanan yang panjang memang memenatkan. Jadi pilih destinasi yang hanya mengambil masa yang singkat iaitu antara dua hingga tiga jam penerbangan. Pastikan juga penginapan yang dipilih berdekatan dengan kemudahan perubatan yang mudah diakses.

Jangan pertaruhan keselamatan diri anda dengan melancong ke negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan penyakit berjangkit. Elakkan juga daripada memilih negara yang memerlukan anda mendapatkan suntikan vaksin. Jika perlu dapatkan nasihat doktor.

2. Utamakan Keselesaan

Foto: cwc-mdobgyn.com

Keadaan anda yang berbadan dua pasti memerlukan anda memilih pakaian, kasut dan aksesori yang sesuai dan keutamaannya adalah selesa. Ini penting bagi mewujudkan persekitaran yang ‘memihak’ pada diri anda.

Cuaca? Ini perlu anda beri perhatian. Pertimbangkanlah keadaaan cuaca dan bentuk muka bumi lokasi yang ingin anda tuju. Mungkin fabrik daripada kapas misalnya lebih sesuai untuk anda pakai terutamanya di negara yang cuacanya agak panas dan kering.

3. Mencuba Menu Baru… Adakah Selamat?

Foto: happyfamilyorganics.com

Kalau bab melancong ini, makanan sering menjadi aspek utama yang kita ingin cuba. Malahnya inilah masanya kita akan diperkenalkan dengan menu asli negara terbabit dan mungkin tidak pernah kita cuba sebelum ini. Rugilah kan andai kita tidak berani mencuba. Betul tak?

Namun bagi anda yang sedang hamil, adalah lebih elok berhati-hati. Jangan makan sembarangan. Pastikan sumber makanan itu benar-benar bersih dan selamat untuk dinikmati. Elakkan daripada mengambil makanan mentah bagi mengurangkan risiko keracunan makanan.

4. Persediaan Awal

Beringat sebelum berlaku sesuatu perkara yang boleh membantutkan mood percutian. Tidak salah untuk anda membuat persiapan awal dengan menyenaraikan barangan yang akan dibawa untuk melalui trip yang selesa dan selamat.

Mungkin anda boleh bawa bersama bantal kecil, selimut dan sebagainya sebagai langkah persediaan. Manalah tahu jika pernerbangan terpaksa ditangguhkan, anda boleh gunakannya untuk berasa lebih nyaman sementara menanti kesulitan itu selesai.

5. Nikmati Percutian Anda

Foto: tui.co.uk

Tak perlu stres! Memang cukup memenatkan andai perjalanan itu agak mengambil masa. Untuk mengelakkan berlaku kekejangan, pedih hulu hati dan pening, lakukan sedikit regangan. Lebih kerap lebih baik!

Minum air putih secukupnya. Ini bukan saja buat anda yang sedang hamil, semua orang perlu memastikan tubuh mendapat air secukupnya.

6. Rehat Secukupnya

Bercuti ketika hamil bukanlah masa untuk anda meluangkan masa sepenuhnya di luar dengan pelbagai aktiviti. Ingat anda sedang hamil!

Dapatkan rehat dan tidur secukupnya. Andai keletihan, rehat dan jangan paksa badan melakukan sesuatu di luar kemampuan. Percayalah jika anda mendapat rehat yang cukup, lebih banyak perkara menarik yang boleh anda buat dangan hati yang senang.

Kredit main foto: londonplaces.live

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!