Hati-Hati Teh & Kopi Panas Tingkatkan Risiko Kanser Esofagus

Satu budaya bagi rakyat Malaysia adalah menikmati minuman panas seperti teh tarik ketika sarapan setiap hari. Tapi tahukah anda,  selain kandungan gula yang tinggi, ianya boleh meningkatkan risiko diabetes serta berpotensi meningkatkan risiko kanser esofagus sebanyak dua kali ganda kepada diri anda?

Pakar kanser menyatakan bahawa meminum air pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada itu, secara konsistennya dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser esofagus. Pendapat ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas 50,000 individu.

Pakar kanser mendapati bahawa dengan meminum 700 milimeter (ml) teh setiap hari (sekitar tiga cawan) pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada itu mampu meningkatkan risiko kanser esofagus dengan 90 peratus lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Penulis utama kajian tersebut, Dr. Farhad Islami menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin meminum teh supaya membiarkan minuman tersebut sejuk sedikit terlebih dahulu sebelum meminumnya untuk mengurangkan risiko mendapat kanser esofagus.

Kanser esofagus adalah sejenis kanser yang memberi kesan terhadap saluran atau laluan makanan melalui mulut ke bahagian perut. Kajian terbaharu  dijalankan di Iran, China dan Amerika Selatan memandangkan penduduk di ketiga-tiga negara ini lebih suka menikmati teh dengan suhu yang amat panas. Berbanding penduduk di Amerika Syarikat dan Eropah yang lebih suka menikmati teh pada suhu yang lebih rendah.

Pada tahun 2016, agensi kanser bagi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), the International Agency for Research on Cancer telah membuat pengkelasan bahawa meminum minuman panas dengan suhu melebihi 65 darjah Celsius boleh menjadi carcinogen; bahan yang mampu menyebabkan kanser dalam tisu hidup.

Saintis dan pengkaji percaya bahawa mekanisme asas yang menyebabkan pembentukan kanser akibat daripada tabiat meminum minuman pada suhu yang amat panas adalah disebabkan oleh kecederaan jangka masa panjang kepada sel yang melapisi esofagus.

Dinasihatkan untuk membiarkan minuman panas supaya sejuk terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada tisu dalaman tubuh. Amalan ini  sekali gus mengelakkan sebarang peningkatan risiko kanser esofagus memandangkan telah terdapat pelbagai kajian yang menyokong pernyataan ini.

Sumber: www.1health.id

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!