Islam Sempurnakan Sevilla

Melancong ke Sepanyol kita dapat merasai betapa hebatnya Islam suatu ketika dahulu. Walaupun kegemilangan Islam di bumi matador itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi hangatnya masih terasa. Seakan-akan baru semalam ia berlalu.

Kunjungan penulis ke Sevilla iaitu salah sebuah kota di Sepanyol memang sangat berbaloi. Kita dapat menyaksikan sendiri kesan sejarah dan peninggalan tamadun Islam. Bukan sedikit bangunan yang indah senibinanya tersergam megah, malah tidak terkira jumlahnya. Lebih membanggakan kebanyakan mercu tanda yang menjadi ikon di bandar ini mempunyai kaitan rapat dengan peradaban Islam.

Malah dalam sebuah artikel bertajuk “Sevilla Islamic Heritage”, Sarah Irving menyatakan, keindahan seni bina Islam di Sevilla telah menghadirkan kekaguman hingga berabad-abad. Ini menjadi salah satu bukti kebesaran peradaban Islam di Sepanyol suatu masa dahulu. Disebabkan faktor itulah Sepanyol menjadi destinasi pelancongan dunia terutamanya oleh pelancong Muslim.

Kota Budaya dan Tradisi

Kalau Malaysia is truly Asia, Sevilla pula adalah truly Spanish. Ini disebabkan Sevilla sangat kaya dengan budaya dan tradisi Sepanyolnya. Tarian Flamenco dan Matador yang menjadi ikon Sepanyol berasal dari sini.

Tarian Flamenco

Tarian Flamenco sebenarnya merupakan salah satu tarian pergaulan tradisional berasal dari Andalusia. Akar dari tarian Flamenco berasal dari budaya kaum Gipsi Andalusia dan budaya Islam Persia. Dengan semakin berkembangnya tarian ini di wilayah lain, tradisi muzik tempatan ikut mempengaruhi, seperti unsur muzik tradisional Castilia. Keberagaman ini menjadikan tarian Flamenco sebuah tarian dengan genre muzik yang kuat, berirama, bertenaga, anggun dan mempesona.

Sevilla juga sangat terkenal dengan tapas, iaitu sejenis makanan tradisionalnya. Begitu kuatnya melekat budaya tapas pada masyarakat Sevilla ini, boleh kata hampir selang tiap beberapa meter saja pasti kita boleh menemukan bar-bar yang menjual tapas. Terdapat beberapa pilihan restoran yang menyajikan makanan halal, antaranya Al-Medina, As-Sawirah, Fez Restaurante, Fez Sevilla, Casa de Abdul, Don Raimundo, Al Diuan, Aladin dan Andalucia Kebab.

Kota Sevilla juga tidak pernah sunyi dari acara dan perayaan. Hampir sepanjang tahun ada saja acara, hiburan dan perayaan yang mewarnai kota lama ini. Kebiasaannya apabila berlangsung sesuatu acara penduduknya akan keluar membanjiri jalan-jalan dan lorong-lorong sehingga melimpah ruah. Terdapat pelbagai aktiviti dijalankan di sini. Antara yang menarik ialah pertunjukan pasukan pancaragam beruniform yang berarak di jalan yang mengelilingi kawasan sekitar tengah bandarnya. Alunan dan dentuman muzik pancaragam yang bergema menyemarakkan lagi suasana ceria yang sememangnya sudah sedia ceria.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menaiki kereta kuda mengelilingi bandar lama ini bolehlah mencuba, itupun kalau duit penuh di poket. Harganya 100 euro dekat-dekat hampir RM500 untuk 1 jam tunggangan. Ada berani?

Tarikan Lain Sevilla

Antara tarikan lain yang terdapat di Sevilla atau Ishbilya dalam sebutan bahasa Arab, kota lama yang terletak di tepian Sungai Guadalquiver dan kota kedua terbesar selepas Cordoba ini seperti :

Giralda

Giralda adalah salah satu world heritage site yang diiktiraf oleh UNESCO. Ia merupakan  bangunan kebangaan Sevilla. Saiznya yang sangat besar dengan keluasan 1,361 meter persegi dan dengan ketinggian 104.5 meter (343 kaki) menjadikan ia simbol terpenting di zaman pertengahan Sevilla. Menara ini dahulunya dibina oleh orang Islam sebagai menara azan semasa Islam masyhur di Sepanyol. Namun setelah orang Kristian berjaya menakluki Sevilla dikatakan raja Kristian Sepanyol pada masa itu telah naik ke atas puncak menara tersebut dengan berkuda sambil bersorak gembira. Sejak dari itu menara ini telah dijadikan menara loceng gereja.

Plaza de Espana

Plaza de Espana merupakan bangunan kemegahan di wilayah Andalusia yang dibina pada tahun 1929. Ia kini menempatkan jabatan-jabatan kerajaan sama seperti bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Disebabkan senibinanya yang indah Plaza de Espana telah digunakan sebagai lokasi penggambaran filem Star Wars Episode I: The Phantom Menace dan Star Wars Episode II: Attack of the Clones.

Torre Del Oro

Torre del Oro atau lebih dikenali sebagai Tower of Gold. Terletak bersebelahan dengan Sungai Gualquivir tidak berapa jauh dari Plaza de Espana. Asalnya dibina sebagai menara tinjau pertahanan semasa zaman kegemilangan Islam. Dari menara ini mereka mengawal kapal-kapal yang belayar menerusi sepanjang sungai ini. Namun bangunan menara ini kini dijadikan sebuah muzium.