Itik Salai Masthar Sg Merab Luar Yang Ohsem!

Masak lemak cili padi Masthar memang terangkat habis! Lihat sajalah sambutan yang diterima di setiap cawangannya di Bangi dan Kajang, Selangor. Memang tidak menang tangan pekerjanya menyediakan hidangan pesanan pelanggan yang tidak pernah putus menjamu selera. Inilah hebatnya Itik Salai Masthar ini.

Bagi warga sekitar Bangi, sudah tentu lebih arif dengan suasana menjamu selera di cawangannya di Kampung Sungai Ramal Dalam dan Food Valet, Taman Ramal Suria. Sambutannya sejak awal dibuka sehingga kini bagaikan tidak pernah surut. Kadangkala terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan meja makan, lebih-lebih lagi jika datang ketika waktu puncak.

Namun dek kerana ‘kepaduan’ rasanya, ramai yang sanggup menunggu dan hasilnya tentulah berbaloi! Mengembangkan lagi operasi perniagaan, Itik Salai Masthar yang terkenal dengan hidangan itik, ayam, daging dan ikan keli salai masak lemak cili padi ini, kemudiannya membuka cawangan seterusnya di  Jalan Haji Yusuff, Sungai Merab Luar, juga di Bangi.

Sedikit berbeza dengan cawangan sebelum ni, Itik Salai Masthar Sungai Merab Luar – HQ ini nyata selesa, luas dan punya pelbagai pilihan makanan. Susun atur dekorasinya juga tampak menarik dan memberi keselesaan maksimum kepada pelanggan yang datang menjamu selera.

Beroperasi secara rasmi pada November tahun lalu, restoran ini menyediakan ruang parkir yang luas, meja makan yang mencukupi, gerai-gerai masakan panas hinggalah ke hidangan pencuci mulut. Kemudahan surau juga tidak dilupakan. Selain masak lemak cili padi, anda juga boleh mencuba hidangan asam pedas Masthar dan masak tempoyak Masthar yang tidak kurang hebatnya!

Itik salai Masthar Masak Lemak Cili Padi yang tidak pernah mengecewakan.

Selain daripada hidangan istimewa daripada Itik Salai Masthar, terdapat juga beberapa pilihan gerai makanan yang menjual aneka sup, nasi lemak, nasi kerabu Kelantan, mi bandung Muor, popia basah, ice blended dan banyak lagi yang boleh anda cuba.

Menariknya, bagi peminat sate kajang, anda boleh mencuba hidangan sate ayam, sate daging, sate kambing dan sate perut. Untuk membasah tekak atau inginkan sesuatu yang lebih fresh, jangan lepaskan peluang minum jus nanas MD2 atau buah potong yang manis lagi menyegarkan.

Kemudahan surau yang selesa turut disediakan.

Itik Salai Masthar Sungai Merab Luar ini dibuka setiap hari bermula pukul 11.00 pagi hingga 10.00 malam. Tunggu apa lagi, jom la uji deria rasa anda dengan hidangan yang pernah tular ini!

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!