Jom ‘Buru’ Makanan Enak di Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Ini hanya untuk pencinta makanan! Buat kali ketiga penganjuran, Pulau Pinang sekali lagi menjadi ‘tuan rumah’ kepada pesta makanan yang dianggap sebagai ‘syurga makanan di Asia’. Inilah Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang atau dikenali dengan PIFF (Penang International Food Festival).

Mula dianjurkan pada tahun 2017, PIFF telah berjaya menarik kunjungan seramai 400,000 pengunjung termasuklah pelancong luar negara. Di sini anda berpeluang menikmati minuman dan makanan enak yang disediakan oleh penjaja, vendor, restoran dan kafe terbaik di Pulau Pinang selama 16 hari.

Bakal bermula pada 13 April hingga 28 April ini, beberapa perubahan diperkenalkan untuk menambah daya tarikannya. Antaranya Jamuan Malam Di Atas Feri yang akan berlangsung pada 6 petang hingga 9 malam pada 25 April. Berbeza pada tahun lepas, ia diadakan pada pukul 8 hingga 11 malam. Perubahan waktu ini diharap akan menarik lebih ramai pengunjung.

PIFF masih mengekalkan tiga acara utama iaitu Street Food Festival (13 dan 14 April), Taste of Penang (20 dan 21 April) dan Penang Seafood Galore (27 dan 28 April). Street Food Festival misalnya menumpukan kepada penjaja ‘luar biasa’ di Pulau Pinang dan akan menampilkan hidangan makanan jalanan yang paling terkenal.

Manakala, Taste of Penang pula akan memperkenalkan makanan moden Pulau Pinang dengan kafe dan restoran terbaik menyediakan hidangan eksklusif mereka.

Ia turut dimeriahkan dengan beberapa festival mini seperti Kopi ‘O’ (15 April), Mini Curry Festival (16 April), RM2 Mini Food Festival (17 April), Gertak Sanggul Food Truck Rally (18 April) dan Mini Barbecue Feast (19 April).

Jadi pastikan anda mengetahui secara jelas tarikh penganjuran setiap acara agar tidak terlepas peluang keemasan ini. Selain makanan, terdapat beberapa hotel yang terlibat dengan menawarkan promosi istimewa sepanjang PIFF berlangsung. Maklumat lanjut layari laman sesawang piff.com.my.

Kredit foto: Tourism Malaysia & PIFF

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!