KALAKATAR KUIH TRADISI ORANG BANJAR

Pernah makan kuih Kalakatar? Inilah kuih tradisi masyarakat Banjar. Kalakatar atau bingka kelapa ini sangat popular, terutamanya bila tibanya bulan Ramadan. Kalakatar itu membawa maksud ‘ketika panas’. Sebab itulah, kuih ini begitu enak jika dimakan ketika masih panas.

Tepung gandum dan tepung beras sebagai bahan asas. Manakala air kelapa muda pula antara bahan penting dalam adunan kuih ini. Lebih enak, jika isi kelapa masih berlendir-lendir, terasa lemaknya. Teknik membakar juga turut mempengaruhi rasa kalakatar. Jika ingin kekalkan rasa tradisi, bakar kalakatar menggunakan sabut kelapa. Kaki Masak kongsikan resipinya. Cuba tau..!

 

KALAKATAR

BAHAN

  • 1 cawan tepung beras
  • 4 sudu besar tepung gandum
  • 1 ½ cawan air kelapa muda
  • 1 cawan isi kelapa muda – hiris halus
  • ½ cawan gula
  • 2 biji telur
  • 1 cawan santan
  • Sedikit garam

CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan tepung beras, tepung gandum, air kelapa, gula, santan dan telur di dalam bekas. Kacau sehingga sebati, lalu ditapiskan ke dalam kuali.
  2. Masukkan separuh isi kelapa yang telah dihiris halus bersama garam secukup rasa.
  3. Masak adunan, sambil dikacau perlahan-lahan menggunakan api perlahan seketika.
  4. Kemudian tuangkan adunan ke dalam loyang yang telah disapukan dengan sedikit minyak dan dilapikkan dengan daun pisang.
  5. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 180°C selama 30 minit hingga 40 minit. Apabila adunan separuh masak, taburkan lebihan isi kelapa di atas permukaan kuih. Bakar selama 10 minit lagi sehingga masak.