Kenapa Lampu Kabin Pesawat Dimalapkan Dan Tingkap Dibuka Semasa Berlepas & Mendarat?

Setiap kali menaiki kapal terbang, inilah prosedur yang wajib dipatuhi oleh setiap penumpang. Apabila semua penumpang sudah berada di tempat duduk, krew kabin akan memastikan semua jendela tingkap di dalam pesawat dibuka dengan luas dan kapten kapal akan memalapkan lampu kabin sebelum berlepas dan sebelum mendarat.

Kenapa prosedur ini sangat penting? Apakah alasannya? Mungkin nampak remeh, tetapi ia sebenarnya adalah langkah keselamatan yang sangat penting. Kajian mendapati kebanyakan kemalangan berlaku ketika pesawat berlepas dan mendarat. Jadi. tujuannya adalah supaya krew kabin boleh melihat jelas ke luar tingkap bagi memastikan bahagian pesawat yang mana paling selamat untuk penumpang keluar dan seterusnya membantu mereka merancang proses evakuasi yang sistematik (contohnya, pintu mana yang patut mereka gunakan) jika berlaku kecemasan.

Krew kabin hanya ada masa 90 saat sahaja untuk mengosongkan semua penumpang apabila berlaku kecemasan, tanpa mengira saiz pesawat atau bilangan penumpang. Bayangkan hanya 90 saat sahaja masa yang diperlukan!

Maka, sebab itulah penumpang perlu membuka jendela tingkap, melipat meja makan, dan meletakkan kerusi pada kedudukan tegak bagi membantu mempercepatkan proses evakuasi daripada pesawat semasa kecemasan.

 

Lampu Kabin Dimalapkan, Apa Pula Kaitannya?

Tujuan lampu kabin dimalapkan supaya penumpang dapat menyesuaikan mata mereka kepada cahaya matahari yang masuk dari luar pesawat.

Pada siang hari, membuka jendela tingkap dan memalapkan lampu kabin membolehkan anak mata melaraskan frekuensi cahaya matahari yang masuk ke dalam. Ini penting untuk mengelakkan sebarang perubahan mendadak kepada frekuensi kemasukan cahaya ke dalam mata yang boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur sementara.

 

Tetapi Mengapa ‘Reading Light’ Dibenarkan?

‘Reading light’ dibenarkan terbuka kerana ia tidak mempunyai kesan yang besar terhadap mata kerana hanya menerangi sebahagian kawasan kecil sahaja. Tetapi sebaik-baiknya padamkan sahaja.