Lost World of Tambun Ukir Nama Dalam Asia Book of Records

Taman tema popular di Malaysia, Lost World of Tambun, Ipoh, Perak telah berjaya mengukir nama di pentas Asia apabila mendapat pengiktirafan rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records pada 3 Ogos lalu. Kejayaan mengukir bongkah ais sepanjang 60 meter selama 26 jam itu merupakan pengiktirafan yang cukup bermakna buat taman tema ini.

Ukiran ais bertemakan tarikan yang ada di Taman Tema Lost World of Tambun, antaranya haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis burung yang terdapat dalam ‘petting zoo’, selain kolam air panas dan permainan air serta bentuk tiang taman tema itu.

Pengiktirafan itu juga diberikan kerana berjaya memenuhi syarat agar bentuk ukiran dikekalkan sekurang-kurangnya selama dua jam selepas kerja-kerja bermula pada 7.15 petang sehingga selesai pada 9.15 malam.

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari memberitahu, impian untuk mengukir nama dalam Asia Book of Records mula timbul kira-kira setahun lalu dengan tujuan memberi latihan kepada pelajar jurusan kulinari menerusi aktiviti ukiran ais.

Daripada idea tersebut, pelbagai kajian dilaksanakan dan mereka akhirnya berjaya mengumpul kira-kira 25 pengukir ais senior, 25 pengukir ais amatur dari seluruh negara dengan bantuan dibantu 67 pelajar dari Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar untuk menjayakan acara tersebut.

“Ini satu pengalaman yang amat mencabar kerana selain cuaca yang panas, di sini juga ada kolam air panas dan kita perlu mengekalkan bentuk ukiran ais itu sekurang-kurangnya dua jam. Namun dengan bakat yang ada pada pasukan kita berjaya laluinya,” tutur Nurul Nuzairi.

Selain Lost World of Tambun, turut mendapat sijil Asia Book of Records adalah tiga cef yang mengetuai pasukan pengukir iaitu cef Sabri Hassan, cef Ahmad Tarmizi Ismail dan cef Harun Jalil.

Sijil Asia Book of Records disampaikan oleh wakilnya, Evelyn Kuppa dan Grace Kuppa.

Sumber: BERNAMA

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!