Melancong Ketika Ramadan: Ini Yang Patut Anda Tahu

Umat Islam seluruh dunia kini sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia, bulan untuk menahan lapar dan dahaga di siang hari (selain perkara wajib yang lain). Sekalipun ia adalah bulan yang penting bagi umat Islam, namun, bukanlah bermakna ia menjadi penghalang untuk anda pergi melancong.

Ramadan merangkumi segala aspek termasuklah tentang ibadah dan keinsafan diri, maka pergi melancong juga termasuk dalam ibadah kerana melibatkan semangat keakraban antara manusia terutamanya umat Islam. Jadi, sekiranya anda ada terfikir untuk melancong dan merasai sendiri peluang unik setahun sekali ini di negara lain, jangan ragu-ragu lagi. Tempah sajalah percutian anda dan rasai pengalaman berpuasa di luar negara!

Di samping itu juga melancong di bulan Ramadan sebenarnya sangat menyenangkan dan memiliki beberapa kelebihan dibanding melancong pada bulan-bulan lain. Tempat pelancongan sepi kerana tidak banyak pengunjung, manakala hotel dan penginapan juga lebih murah harganya.

Apa Yang Perlu Dijangkakan Ketika Ramadan!

1. Kemeriahan Ramadan Disambut Berbeza Mengikut Budaya

Walaupun anda terpaksa berpuasa berbelas jam lamanya di negara-negara seperti Australia, Sweden, Morocco dan lain-lain, namun jangan biarkannya melemahkah semangat anda untuk melancong ke negara-negara tersebut ketika bulan Ramadan. Pengalaman berpuasa di sana pastinya mahal dan anda dapat merasai suasana Ramadan yang jauh berbeza.

Misalnya di India, satu perbezaan utama terletak pada makanan yang dimakan untuk berbuka puasa ialah dengan hidangan yang paling popular disajikan di masjid dan di rumah iaitu ghangui, sup yang mengandungi bahan utama, daging dan beras yang dicampur dengan tepung. Suatu kelainan yang pastinya anda tak akan dapat lupakan!

Kredit Foto: Bahath

Dan jika anda ingin merasai pengalaman berpuasa dan berbuka bersama orang tempatan, anda patut melancong ke Turki. Waktu berbuka puasa cukup indah dan meriah. Di sana Ramadan dikenali sebagai Perayaan Gula (Seker Bayramı), kerana orang tempatan melayan tetamu mereka dengan makanan manis dan pencuci mulut tradisional Turki.

2. Restoran dan Gerai Tempatan Mungkin Ditutup di Siang Hari.

Dalam negara-negara majoriti penduduk Islam, banyak perniagaan makanan yang dijalankan oleh orang Islam sama ada akan ditutup sepenuhnya atau dibuka hanya untuk beberapa jam sahaja.

Di negara-negara pelbagai budaya seperti Malaysia dan Singapura, restoran bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, sementara di beberapa negara seperti di Arab Saudi dan Pakistan, gerai atau restoran hanya boleh dibuka selepas waktu berbuka puasa.

3. Ramadan Bukan Hanya Menahan Lapar dan Dahaga. Ianya Lebih Daripada Itu.

Sepanjang Ramadan, umat Islam bukan saja diwajibkan menahan lapar dan dahaga tetapi termasuklah hal paling utama berkaitan kesihatan tubuh badan. Oleh itu, ketika melancong, bagi menghormati agama dan budaya orang lain, menjaga adab seperti percakapan atau berpakaian adalah perlu kerana Ramadan dianggap sebagai bulan yang suci dan mulia. Bercuti pun bercuti juga, tapi jangan lupa jaga tingkah laku ya!

Apa Yang Perlu Dibuat dan Apa Yang Tidak Perlu Dibuat?

Yang Perlu Dibuat:

1. Bersabar

Disebabkan perubahan waktu, cuaca, tempoh berpuasa dan rasa letih serta lapar yang mungkin lebih hebat berbanding di Malaysia, ramai yang jadi cepat marah. Justeru, sentiasalah bersabar dan nikmatilah saat manis serta suasana indah ketika berpuasa dan melakukan ibadat di negara orang.

2. Buat Persiapan Untuk Berpuasa di Negara Orang

Amalan kebiasaan bersahur adalah dengan bangun dua jam atau sejam lebih awal sebelum matahari terbit, dengan bersarapan ringkas dan meminum air yang cukup untuk mengekalkan kesegaran tubuh sepanjang siang hari. Tapi jika anda perlu berpuasa lebih lama atau berada di negara yang cuacanya berbeza dari di Malaysia, anda patut buat persiapan dari segi mental dan fizikal terlebih dahulu.

3. Hindari Melancong di Awal dan Akhir Puasa

Kredit Foto: Berita Teknologi

Hal ini berhubung dengan keadaan tubuh untuk perjalanan di awal puasa dan ketika menjelang akhir Ramadan. Di awal puasa, tubuh sedang melakukan adaptasi dan perlu beberapa hari (biasanya 2-3 hari) untuk menyesuaikan diri dengan waktu makan, minum dan tidur. Di saat itu juga kita akan merasakan tubuh sedikit lemah dan kadang-kadang rasa pening atau beberapa gangguan lainnya, namun itu hanya sementara. Setelah terbiasa maka akan hilang dengan sendirinya. Di minggu akhir puasa pula keadaan perjalanan atau menjelang raya sangat sesak. Malah, ada sesetengah negara yang menutup tempat-tempat melancongnya menjelang hari raya.

4. Siapkan Bekal

Ini sangat penting khususnya jika anda melancong jauh dan akan melaksanakan puasa atau sahur di atas pesawat. Perhatikan jadual perjalanan anda, khususnya jika anda ke luar negara. Mungkin anda memerlukan masa yang lama untuk melalui imigresen atau urusan visa. Jadi bawa bekalan boleh menyelamatkan keadaan. Perlu juga ingat, tidak semua pesawat akan memberikan minuman atau makanan untuk berbuka dan sahur. Jadi seelok-eloknya anda bersedia dengan sebarang kemungkinan.

5. Perhatikan Tempat Tujuan Perjalanan

Sebelum melancong ke sesebuah negara cubalah cari info atau maklumat tentang suasana Ramadan di sana terlebih dahulu. Cubalah cari jadual waktu berbuka dan imsak sebelum memulakan perjalanan dan masukkan dalam itinerary selama melakukan perjalanan.

Carilah juga lokasi masjid kerana biasanya di sekitar masjid adalah tempat tinggal orang Islam. Jadi, bolehlah anda berinteraksi dengan mereka dan merasai pengalaman berbuka dengan masyarakat Islam di sana. Malah, melaksanakan ibadah puasa khususnya solat terawih dengan masyarakat tempatan pasti akan menjadi kenangan terindah dalam hidup anda.

6. Hormati Adat dan Budaya Setempat

Hal ini sebenarnya penting tidak kira ketika bulan Ramadan atau pun tidak. Bagaimanapun, sepanjang Ramadan, sesetengah pelancong mungkin tidak sedar akan perkara penting ini.

Yang Tidak Perlu Dibuat:

1. Datang Tanpa Persediaan

Ramadan disambut dengan cara berlainan bergantung pada di mana anda berada. Jadi pastikan anda mengkaji dan merancang terlebih dahulu supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

2. Ketinggalan Daripada Aktiviti Meriah

Semakin hampir malam, semakin meriah kehidupan, jadi sertailah orang tempatan! Turun ke bazaar tempatan beberapa jam sebelum matahari terbenam, kerana pada waktu inilah kepelbagaian makanan akan kelihatan dan keunikan ini hanya pada bulan Ramadan sahaja. Sepanjang Ramadan, akan ada beberapa kedai makanan yang dibuka seawal pagi sebelum matahari terbit untuk memberi kemudahan kepada mereka yang ingin bersahur. Rebut peluang ini dan rasai kelainannya!

3. Malu Bertanya

Jika anda tidak pasti mengenai tradisi dan sambutan Ramadan di negara itu, mengenai hal-hal yang sensitif atau yang perlu diambil tahu, janganlah malu untuk bertanya penduduk tempatan. Penduduk tempatan tentu suka untuk menjawab persoalan anda agar anda faham erti Islam dan bagaimana suasana Ramadan di sana.

Meskipun begitu, walaupun sedang melancong tak bererti harus mengurangkan nilai ibadah Ramadan. Banyak waktu yang boleh dimanfaatkan untuk melakukan hal-hal yang boleh menambah pahala. Contohnya, download aplikasi al-Quran yang banyak terdapat dalam smartphone. Anda boleh membacanya ketika sedang dalam perjalanan atau sedang berehat.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!