Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia, Caknakan Ibu Bapa Kepentingan Susu Ibu

Hari istimewa buat ibu-ibu seluruh dunia, terutamanya buat wanita yang mengamalkan penyusuan susu ibu sepenuhnya. Bermula hari ini, 1 Ogos hingga 7 Ogos setiap tahun, kaum ibu diraikan dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.

Tahun ini merupakan tahun yang ke-27 ia disambut. Sambutan ini memanifestasikan komitmen terhadap usaha mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu.

Dengan komitmen ini anak-anak dapat dilindungi daripada pelbagai penyakit semasa bayi dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit setelah dewasa.

Bertemakan “CAKNAKAN IBUBAPA, JAYAKAN PENYUSUAN – Bertindak sekarang demi masa depan”, ia menekankan kepentingan usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan bagi menyediakan persekitaran yang berupaya memperkasakan ibu untuk menyusukan anak secara optima.

Sokongan daripada pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti akan memberi impak yang lebih besar dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.

Kredit foto: awarenessdays.com

Sehubungan itu, perkara-perkara berikut perlu ditekankan:

1. Ibu atau bakal ibu bapa perlu mendapatkan ilmu asas penyusuan seawal mengandung daripada sumber yang sahih.

2. Para suami dan ahli keluarga perlu peka tentang keperluan ibu semasa tempoh menyusu, membantu ibu menyusu serta dan memberi sokongan emosi dan kasih sayang.

3. Rakan sekerja perlu memberi empati, sokongan moral dan membantu meringankan tugas ibu menyusu.

4. Kumpulan sokongan penyusuan susu ibu perlu terus menerus memberi sokongan dan berkongsi pengalaman untuk memotivasikan para ibu.

5. Masyarakat sekeliling perlu prihatin kepada keperluan ibu menyusu terutama di tempat awam, memberi empati dan sokongan emosi.

6. Majikan di sektor kerajaan dan swasta perlu menyediakan persekitaran yang kondusif kepada ibu-ibu, termasuk menyediakan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak, kemudahan untuk ibu memerah dan menyimpan susu ibu, bilik atau sudut penyusuan serta melaksanakan waktu kerja anjal.

Kredit foto: todaysparent.com

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025) menggariskan pelbagai strategi dalam menjayakan penyusuan susu ibu.

Antara strategi tersebut adalah memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi serta Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan; advokasi pemakanan; latihan untuk anggota kesihatan; dan penyebaran maklumat melalui media massa serta media sosial.

Sehingga kini, terdapat 157 buah hospital yang telah mendapat pengiktirafan Hospital Rakan Bayi, termasuk kesemua 137 buah hospital kerajaan dan 20 buah hospital swasta.

Manakala sebanyak 670 buah klinik kesihatan seluruh Malaysia telah diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi. Bagi menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara yang “Mesra Bayi”, diharapkan semua hospital swasta di Malaysia melaksanakan inisiatif ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru semua ibu bapa serta keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa untuk terus menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu demi kelestarian generasi kita yang akan datang.

Kredit main foto: todaysparent.com

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!