Minggu Restoran Halal Korea 2019… Masa Terbaik Melawat Korea

Korea Tourism Organization (KTO) kini sedang menganjurkan “Minggu Restoran Halal Korea 2019,” acara promosi bagi menarik pengunjung beragama Islam ke Korea, bermula 1 September lalu hingga 31 Oktober ini.

Promosi Minggu Restoran Halal Korea dimulakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesukaran berkaitan makanan, yang sering dihadapi oleh pelancong beragama Islam, disebabkan oleh kekurangan restoran makanan Halal di Korea. Ia sekali gus untuk meningkatkan infrastruktur pelancong Korea untuk memenuhi keperluan pelancong beragama Islam dengan lebih baik.

Kredit foto: Klook.com

Pengunjung-pengunjung ke Korea sepanjang tempoh ini, akan mendapat akses kepada diskaun dan faedah-faedah lain daripada “Restoran Mesra Umat Islam” yang ditetapkan KTO dan tapak pelancongan utama. Acara tahun ini melibatkan 152 restoran mesra umat Islam dan 40 tapak pelancongan utama serta program pengalaman bagi memberi pelbagai faedah yang lebih besar berbanding acara tahun lalu.

Pengunjung-pengunjung juga akan mendapat akses kepada buku kupon Minggu Restoran Halal Korea melalui pejabat-pejabat KTO di kawasan-kawasan pelancong beragama Islam utama (Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, New Delhi, Dubai, Istanbul, Almaty).

Buku kupon ini termasuk kupon diskaun yang boleh digunakan di restoran-restoran mesra umat Islam dengan nilai KRW 3,000 dan KRW 10,000 serta kupon untuk setiap tempat tarikan utama dan program pengalaman.

Selain itu, terdapat 54 buah restoran mesra umat Islam akan menawarkan menu set istimewa semasa tempoh promosi dan diskaun kupon sehingga KRW 10,000. Kupon boleh dimuat turun daripada platform mudah alih dan laman web rasmi acara ini (www.hrwkorea.or.kr).

Permulaan musim luruh di Korea tiba pada bulan September dan Oktober, meninggalkan panas terik musim panas, yang menjadikannya musim yang menarik untuk pelancong memandangkan banyak festival dan acara memenuhi permintaan pengunjung asing semasa tempoh ini.

Antaranya acara-acara kebudayaan seperti Festival Seni Jalanan Seoul (SSAF, 3-6 Oktober) dan festival-festival K-Wave utama seperti Busan One Asia Festival (BOF, 19-25 Oktober) juga berlangsung semasa Minggu Restoran Halal Korea, lalu menjadikan acara ini sebagai masa yang paling sesuai untuk peminat K-Pop dan K-Wave.

Kredit main foto: Klook.com

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!