Nestle Malaysia Kutip 5.6 Tan Sampah Di 9 Pantai Malaysia

Satu usaha yang baik daripada pihak Nestle Malaysia dalam membantu memulihara alam sekitar. Sejajar dengan usahanya dalam melancarkan ‘peperangan’ menentang sampah plastik, Nestle Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), telah menganjurkan aktiviti pembersihan pantai di seluruh negara pada 10 Julai lalu.

Aktiviti pembersihan yang disertai oleh seramai 600 kakitangan Nestle itu telah berjaya mengutip lebih 5.6 tan sampah di 9 buah pantai di Malaysia. Pantai-pantai tersebut adalah Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, Selangor (430kg), Pantai Morib, Banting, Selangor (679kg), Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan (1.3 tan), Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang (315kg), Pantai Sepat, Kuantan, Pahang (364kg), Pulau Perhentian, Terengganu (105kg), Pantai Batu Layar, Johor (661kg), Pantai Santubong, Sarawak (1.1 tan) dan Pantai Kudat, Sabah (718kg).

Berpacukan kejayaan aktiviti membersih pantai pada tahun-tahun lepas dan sebagai memperingati Hari Lautan Sedunia, Nestle Malaysia meluaskan usahanya ke seluruh negara pada tahun ini. Inisiatif membersih pantai ini menggerakkan kakitangan Nestle dan juga keluarga mereka untuk melibatkan diri bagi menghasilkan kesan yang lebih bermakna dalam usaha menangani masalah sisa buangan plastik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, Nestle komited untuk membantu menangani masalah sisa buangan plastik dan berhasrat untuk menjadikan pembungkusan produk Nestle 100% boleh dikitar semula atau diguna semula menjelang tahun 2025.

“Kami sentiasa mencari cara inovatif untuk mempelopori penggunaan bahan alternatif, membina masa depan tanpa sisa buangan, dan mengubah tingkah laku serta membentuk tabiat baharu. Setakat ini, 65% daripada pembungkusan produk kami sudah direka bentuk untuk dikitar semula. Kami juga komited untuk menghentikan penggunaan bahan plastik sekali guna di semua tempat kerja Nestle menjelang bulan September 2019.

Juan Aranols ketika aktiviti pembersihan di Pantai Remis.

“Usaha kami membersih pantai pada hari ini bersama lebih 600 kakitangan Nestle Malaysia adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang sedang kami lakukan dalam ‘Peperangan ke atas Sampah Plastik’. Ia selaras dengan visi kami untuk membina masa depan tanpa sampah,” ujarnya.

Presiden MNS, Prof. Dr. Ahmad Ismail, pula menambah, “Bak kata pepatah, sebutir batu kecil boleh mencetus gelombang besar. Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Nestle, salah sebuah syarikat multinasional terbesar di Malaysia, untuk menjayakan program ini.

“Inilah yang boleh dikatakan kepimpinan melalui teladan, menunjukkan kepada syarikat lain dan masyarakat bagaimana mereka boleh memainkan peranan untuk alam sekitar mereka. Usaha ini juga mendidik orang ramai tentang bagaimana pelupusan sisa plastik yang tidak sempurna boleh mencemari lautan dan mengancam kehidupan laut.

“Ribuan termia kasih kepada Nestle kerana menjalankan inisiatif ini serta memegang komitmen untuk membuat semua pembungkusan mereka 100% boleh dikitar semula. Kami berharap untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan Nestle agar kami dapat meningkatkan usaha memulihara alam sekitar kita,” katanya.

Usaha membersih pantai ini ialah program di bawah inisiatif sukarelawan kakitangan global Nestle yang baru dilancarkan, Nestle Cares, yang dahulunya dikenali sebagai Nestle ROCKS di Malaysia. Nestle Cares berusaha menyemai budaya dan semangat sukarelawan dalam kalangan kakitangan di pelbagai pasaran Nestle.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!