Pasar Terapung di Kelantan Luarbiasa

Sebut sahaja pasar terapung, pasti terbayang di fikiran akan kemeriahan di Pasar Terapung Khlong Hae, Hatyai.

Sekarang tidak lagi perlu pergi jauh, negara kita juga sudah punyai pasar terapung yang terletak di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pasar Terapung di Pantai Suri

Bagi penduduk Kelantan Floating Market atau pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat sudah tidak asing lagi. Dibuka pada tahun 2016, pasar terapung ini semakin mendapat sambutan dari pengunjung terutamanya dari luar negeri Kelantan.

Pasar terapung Suri menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri Kelantan.

Pasar terapung ini berbeza dengan pasar terapung di Hatyai. Untuk ke Pulau Suri, pengunjung perlu menaiki sampan atau bot yang disediakan oleh pengusaha tempatan. Jika dari Jeti Kuala Besar, perjalanan menaiki bot atau sampan berenjin hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja manakala jika dari jeti Kok Majid, ia mengambil masa hampir 40 minit.

Tambang yang dikenakan adalah berpatutan. Penumpang juga tidak perlu risau akan keselamatan mereka kerana setiap sampan atau bot yang dinaiki dilengkapi dengan jaket keselamatan.

Terdapat puluhan peniaga yang menjual pelbagai jenis hidangan popular masyarakat Kelantan dalam suasana pasar atas air. Antara yang istimewa, lokan bakar, hidupan laut segar digoreng atau dibakar, ketupat sotong, kuih muih tradisi, jeli kelapa, gula melaka, madu, nasi berlauk pagi, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.

Pelbagai jenis makanan dan kuih muih tradisional dijual di sini.

Selain daripada makanan yang dijual di atas sampan, terdapat deretan gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai barangan seperti buah-buahan, bahan mentah segar dan kerepek.

Antara makanan tradisional yang dijual di sini.

Pulau Suri juga menawarkan pelbagai aktiviti termasuk berkayak dan menghayati kehidupan penduduk kampung seperti memetik kelapa menggunakan beruk, pembuatan arang tempurung, mencanting batik serta pembuatan bot nelayan.

Tarikan utama ke pasar terapung ini adalah kerana keunikan yang ada selain kepelbagaian makanan yang murah dan berpatutan. Buktinya, setiap Sabtu pasar terapung ini meriah dikunjungi pengunjung dari serata negeri.

 

Pasar Terapung di Sungai Pengkalan Datu, Sering

Mula dibuka kepada orang ramai pada September 2017. Selain dekat dengan bandar Kota Bharu, pasar terapung ini turut dikenali sebagai ‘Pasar Tani Pelancongan’.

Ia terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan hanya 10km dari Kota Bharu. Namun, seperti pasar terapung di Pantai Suri, pasar terapung Pengkalan Datu juga hanya beroperasi pada setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Pasar terapung ini dibuka hanya pada hari Sabtu.

Kebanyakan pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja ingin menikmati pelbagai juadah dan barangan tradisional tempatan malah ingin membeli hasil tangkapan hidupan laut segar daripada nelayan setempat. Apa yang menariknya, sambil membeli-belah dan menikmati juadah, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh pihak penganjur.

Jadi, jika ingin merasai pengalaman di pasar terapung, anda tidak perlu bersusah payah melancong ke luar negara kerana semua keunikan itu ada di negara sendiri.