PELUANG Art Festival 2019, Khas Buat Pelukis Pamer Karya dan Hasil Seni

Kepada artis atau pelukis baru yang belum pernah menyertai sebarang pameran, atau yang baharu graduasi dari universiti dalam bidang seni halus, juga di kalangan artis senior yang sudah lama tidak berpameran, dan dalam proses untuk bangkit semula setelah lama menyepi atau menghilangkan diri. Ini peluang terbaik untuk anda.

Satu festival bertemakan seni lukis buat julung kalinya akan diadakan pada 23-24 Mac ini bertempat di The Property W&S Kampung Kubu Gajah, Sungai Buluh, Selangor. Festival dua hari itu adalah merupakan acara pembukaan dan perasmian kepada Pameran Seni PELUANG yang akan berlangsung selama tiga minggu bermula pada 23 Mac ini.

 

Sepanjang festival berlangsung akan diadakan acara jualan vendor seniman dan usahawan produk tempatan. Ia dijangka melibatkan peniaga dari kalangan seniman, artis, usahawan kraf dan banyak lagi.

Pameran seni PELUANG bakal menghimpunkan 300 buah karya seni oleh 100 orang lebih seniman tempatan yang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat usia. Ia juga akan menggabungkan artis dari berbagai bidang, medium dan disiploin kesenian, daripada lukisan gaya abstrak, ekspresionis, impresionis, naive hinggalah kepada seni fotografi. Ada juga karya medium, cat minyak, cat air, akrilik, media campuran dan pelbagai lagi.

Sesuai dengan namanya, objektif pameran PELUANG ini adalah untuk memberi peluang kepada artis tempatan tidak kira sama ada dari angkatan generasi lama atau baharu, pelbagai gaya atau isme menggunakan peluang ini untuk berkumpul di bawah satu pameran untuk meluahkan rasa dan semangat seni itu sendiri.

Karya yang terlibat dalam pameran ini dijual dengan harga berpatutan, sekitar RM300 hingga RM5000 supaya karya seni mampu dimiliki oleh orang awam yang berstatus sederhana dan bukan sekadar berlegar dalam kalangan kolektor yang kaya raya sahaja.

Antara aktiviti menarik bakal diadakan pada festival itu nanti ialah aktiviti melukis bersama kanak-kanak. Artis yang terlibat dalam pameran akan melukis bersama-sama kanak-kanak ini di atas kanvas besar. Karya kolaborasi ini akan dijual kepada kolektor, syarikat swasta atau badan-badan korporat dan hasil jualannya akan didermakan kepada mana-mana pertubuhan anak-anak autisme atau rumah anak yatim dan golongan kurang berkemampuan sekitar Selangor.

Tarikh: 23 – 24 Mac 2019

Tempat: The Property W&S Lot 1686,

Jalan Gajah 10, Kampung Kubu Gajah,

47000 Sungai Buloh, Selangor.

 

Sumber & foto: Peluang 2019 Arts Festival

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!