PUSING SELANGOR DULU

Kerajaan Negeri Selangor melalui Badan Promosi Pelancongan Rasmi, Tourism Selangor sedang mempergiatkan usaha membangunkan semula industri pelancongan Negeri pasca Covid-19 dengan visi “Reset Tourism”. Antara inisiatif yang diambil bagi mencapai visi ini adalah pelaksanaan Kempen Pelancongan Domestik, ‘Pusing Selangor Dulu’.

Kempen ini memberikan penekanan kepada pasaran pelancongan domestik susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula 10 Jun lalu oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi kegunaan di premis perhotelan, taman tema dan homestay berlesen di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor berjumlah RM 2 juta. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju meluluskan insentif khas one-off RM1,000 kepada pemandu pelancong, pengusaha homestay dan Hos Komuniti yang berjumlah RM 600 ribu bagi membantu mereka yang bergantung pendapatan dalam sektor pelancongan.

“Kempen Pelancongan Domestik, ‘Pusing Selangor Dulu’ juga semakin mendapat perhatian dan reaksi positif daripada orang awam khususnya pelancong domestik. Tourism Selangor telah menetapkan sasaran baharu untuk jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor seramai 6 juta orang untuk tahun 2020 selaras dengan visi “Reset Tourism”. Dengan pelaksanaan Kempen Pusing Selangor Dulu yang sedang giat dijalankan, sasaran baharu tersebut dijangka dapat direalisasikan dengan sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh jumlah kedatangan pelancong domestik.

Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor yang serba baharu di Selangor.Travel