Rebut 6 Kelebihan Ini Di Bulan Ramadan

Bulan kesembilan dalam kalendar Islam, yakni Ramadan, merupakan bulan yang penuh dengan keistimewaan. Di dalamnya Allah s.w.t mempamerkan kasih sayang, rahmat dan keampunan-Nya kepada seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w.

Sayangnya, ramai di antara kita yang tidak menyedarinya. Marilah kita sama-sama renungkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w berkaitan kelebihan dan keberkatan yang terdapat di dalam bulan Ramadan. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripadanya.

1.DIAMPUNKAN DOSA-DOSA YANG LALU

Sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”

2.DOA YANG MUSTAJAB

Sabda Rasulullah s.a.w: “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka; doa orang yang berpuasa hinggalah berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.”

3.MENDAPAT PERLINDUNGAN DARIPADA ALLAH

Sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa adalah perisai, sekiranya seseorang berpuasa maka janganlah mengeluarkan perkataan keji, melakukan kefasikan dan kejahilan. Seandainya seseorang mencacinya, maka hendaklah ia mengatakan: Aku berpuasa.”

4.KEGEMBIRAAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT

Sabda Rasulullah s.a.w: “Bagi orang yang berpuasa, mereka akan beroleh dua kegembiraan; kegembiraan ketika beriftar dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Allah s.w.t.”

5.DIJANJIKAN SYURGA

Sabda Rasulullah s.a.w: “Di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan yang hanya akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat kelak.”

6.MENDAPAT PAHALA DARI KEBAJIKAN ORANG LAIN

Sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi walaupun sedikit.”

Oleh yang demikian, rebutlah peluang, carilah kesempatan, untuk sama-sama beramal di dalam bulan Ramadan kali ini agar segala kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w dapat kita nikmati dan kecapi bersama di dunia dan akhirat.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!