Santai Di Mat Periuk

Di sinilah kreativiti anak muda diuji. Di sini ada jiwa dan di sini jualah bakat dan seni itu bergabung. Maka lahirlah Mat Periuk cetusan idea Cef Kamarul Hasni Che Rose. Menurut Cef Kamarul, Mat Periuk adalah panggilan untuk pelajar-pelajar kulinari semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) suatu ketika dahulu. “Dulunya kami sering dipandang lekeh tetapi kini tidak lagi. Mat Periuk kini punyai kedudukannya yang tersendiri,”tegas Cef Kamarul sambil tersenyum.

Cerita Cef Kamarul, dia mengilhamkan Mat Periuk Cafe   ini dengan satu tujuan iaitu sebagai satu platform mencungkil bakat anak muda untuk berkarya. Di Mat Periuk kreativiti mereka tidak terbatas dan mereka bebas untuk menyuarakan atau melontarkan idea serta bakat mereka.

Tegas Cef Kamarul, dia terlintas idea untuk membuka Mat Periuk Cafe ini bila mengenangkan jasa arwah ibunya Fatimah Mohd Hashim ketika usianya suka membantu anak-anak mahupun belia kampung yang tidak bersekolah dengan bekerja katering dengannya. Dalam pada itu, ibu menyarankan mereka ini belajar sambil bekerja.

Sikap pemurah dan prihatin arwah ibunya, telah membuka hati Cef Kamarul untuk terus mengikut jejak arwah membantu anak-anak muda ini. “Saya sangat kagum dengan arwah mak. Dia berkorban bukan sahaja untuk kami adik-beradik. Malahan anak-anak kampung ini, turut mendapat kasih sayang mak,” ujar Cef Kamarul bersungguh.

Kata Cef Kamarul, bangunan Mat Periuk Cafe ini merupakan tapak niaga arwah ibunya suatu ketika dahulu. Bagi mengembalikan suasana untuk tampak lebih meriah, Cef Kamarul memilih konsep santai. Kebanyakan barangan yang terdapat di dalam kafe ini adalah koleksi peribadi Cef Kamarul dan keluarganya.

Kini Mat Periuk diuruskan oleh adiknya Rafizatul Fairos Che Rose bersama suaminya Nik. Kafe ini beroperasi  setiap hari dari jam 4.00 petang hingga jam 12.00 malam pada setiap hari kecuali hari Rabu. Istimewanya pada setiap hujung minggu, bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan persembahan ‘busking’ yang akan menghiburkan tetamu. Sesiapa yang berhajat menikmati hidangan masakan barat dan Melayu bolehlah ke Mat Periuk yang terletak di Kg. Tersusun Tasek, Ipoh, Perak.

Mat Periuk Cafe
40 Hala Tasek Timur 11
Kg.Tersusun Tasek,
31400, Ipoh Perak.