Taman Tema Dasar Laut Pertama Di Dunia

Kapal terbang akan kelihatan gah di udara apabila membelah awan biru. Namun berbeza dengan pesawat sebuah ini yang tetap kelihatan gah dan hebat sekalipun ditenggelamkan ke dalam air. Malah, menjadi tarikan untuk pelancong merasai pengalaman meneroka ke taman tema dasar laut yang pertama di dunia.

Terletak di dasar laut kepulauan Bahrain berdekatan ibu kota Manama, taman tema ini mula beroperasi Ogos ini. Meliputi kawasan seluas 100,000 meter persegi, tentunya ia akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelancong dan penggemar aktiviti menyelam.

Tentang aspek keselamatan, pengunjung tidak perlu bimbang kerana pesawat Boeing 747 sepanjang 70 meter ini ditenggelamkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan dipantau oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang ini. Sebelum kapal terbang ditenggelamkan, semua bahan toksik dibuang terlebih dahulu supaya tidak merosakkan serta menjejaskan hidupan laut. Inisiatif ini dilakukan bertujuan untuk memulihara ekosistem marin di samping mengekalkan persekitaran laut dalam memenuhi piawaian alam sekitar di peringkat antarabangsa.

Selain kapal terbang, tarikan lain yang ada di situ termasuklah replika rumah peniaga mutiara tradisional Bahrain, terumbu karang buatan dan pelbagai ukiran yang diperbuat dari bahan mesra alam. Bukan itu sahaja, para penyelidik yang mengunjungi taman tema dasar laut ini dapat memperolehi maklumat berkenaan ekologi laut seterusnya dapat membantu dalam meningkatkan kesedaran tentang memelihara habitat laut.

Sumber dan foto: India Today

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!