TEROKA KEINDAHAN BATU KAPUR GUA KELAM

Jauh terletak di utara tanah air, Gua Kelam atau juga dikenali sebagai ‘Cave of Darkness’ adalah antara gua batu kapur tertua di Malaysia. Bagi penduduk negeri Perlis, Gua Kelam tidak asing lagi sebagai antara destinasi pilihan bagi tujuan aktiviti riadah pada hujung minggu.

Suasananya nyaman dan ditambah pula dengan deruan air sungai yang mengalir tenang, cukup sesuai dijadikan sebagai tempat beristirehat sambil menikmati hidangan enak yang dibawa bersama. Berkelah dalam persekitaran menghijau dan ditemani suara unggas, nyata cukup mengujakan.

Bagi anda yang baru pertama kali berkunjung ke negeri Perlis, meneroka negeri terkecil di Malaysia ini bukanlah sukar. Perjalanan dari bandar Kangar ke Gua Kelam hanyalah kira-kira 31 kilometer (km) iaitu sekitar 40 minit. Namun untuk memudahkan perjalanan ke sini, anda perlu mempunyai kenderaan sendiri.

Gua Kelam bukanlah cerita dongeng yang sekadar mitos. Gua ini menyimpah sejarahnya tersendiri dan punya khazanah alam tidak ternilai harganya. Gua Kelam dahulunya terkenal dengan lombong bijih yang menghasilkan bijih timah yang bermutu tinggi. Malah gua ini menjadi jalan penghubung penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit.

Laluan pintu masuk ke Gua Kelam.

Bagi menikmati keindahan dan keunikan batu kapurnya, anda perlu masuk menjelajah ke dalam gua sepanjang 370 meter ini. Menariknya, gua ini menyediakan laluan khas perjalan kaki iaitu jambatan gantung kayu yang menghubungkan pintu masuk gua ke ruang alam menghijau dan sungai untuk aktiviti mandi-manda.

Antara pemandangan menarik gua batu kapur menerusi laluan jambatan gantung.

Melalui jambatan gantung ini, anda akan ditemani dengan keindahan batu kapur dan stalaktit yang terbentuk di dalam gua. Suasananya malap hanya ditemani beberapa cahaya lampu, pasti memberi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Mungkin ada sedikit rasa seram jika berjalan sendirian. Tetapi inilah masa terbaik untuk anda menghayati sepenuhnya khazanah alam gua, bersaksikan deruan air sungai yang turut mengalir di dalamnya.

Kehijauan alam menyambut anda sebaik tiba di penghujung gua.

Selesai melihat keindahan Gua Kelam, anda boleh ‘cuci mata’ dan membeli pelbagai cenderahati menarik yang terdapat di Padang Besar. Bersempadan dengan Thailand, terdapat pelbagai barangan dengan harga murah seperti pakaian, peralatan dapur, permainan, makanan dan banyak lagi.

 

INFO:

Waktu Operasi:
Isnin hingga Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)
Sabtu, Ahad & Cuti Umum (8.00 pagi – 6.00 petang)

Tiket Masuk:
Dewasa (RM2.00)
6 hingga 18 Tahun (RM1.00)
OKU (Percuma)

Tapak Perkhemahan:
Seorang 1 malam
Pelajar (RM1.00), Dewasa (RM2.00)