Tip Mudah Cipta Momen Camping Bersama Keluarga

Sudah bosan dengan percutian di hotel mahupun pusat peranginan? Ingin cipta kelainan dan beri momen berbeza buat anak-anak yang sedang membesar? Mungkin camping atau berkhemah adalah cara terbaik untuk anda praktikkan bersama keluarga ketika ini.

Aktiviti berkhemah adalah gaya hidup yang menawarkan gaya hidup yang bebas dan ringkas namun memberi kegiatan yang begitu menyeronokkan. Inilah masanya untuk anda membuka ruang pembelajaran kepada anak-anak tentang alam semula jadi dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Namun, sebelum mencuba aktiviti ini ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian. Dalam mencari kelainan, soal keselamatan dan keselesaan juga harus diutamakan memandangkan ia melibatkan percutian keluarga anda.

KAWASAN SELAMAT DAN ADA KEMUDAHAN

Pilih lokasi perkhemahan yang selamat adalah penting terutamanya jika melibatkan kanak-kanak. Buat sedikit rujukan dengan mereka yang pernah melakukan aktiviti berkhemah bersama keluarga mengenai tempat yang sesuai untuk dikunjungi. Pastikan lokasi perkhemahan itu mempunyai kemudahan bilik air yang dibuka 24 jam (sekiranya tujuan anda untuk bermalam di situ). Tidak kiralah sama ada perkhemahan di pantai mahupun hutan.

KHEMAH SESUAI DENGAN SAIZ KELUARGA

Kredit foto: coleman.com.my

Terdapat pelbagai saiz, jenis dan rekaan khemah di pasaran. Harganya berbeza mengikut jenama dan kualiti. Berbeza dengan khemah untuk individu perseorangan atau berdua, anda perlu memastikan khemah yang dipilih sesuai untuk saiz keluarga anda.

Khemah untuk keluarga harus mempunyai kawasan tidur berbilang untuk semua ahli keluarga dan penting dijahit dalam groundsheets bagi memaksimumkan keselesaan.

Khemah keluarga biasanya lebih mahal, berat dan cenderung memiliki ciri seperti mempunyai beranda atau beranjung. Namun sekiranya anda tidak bersedia membelinya, anda boleh menyewa khemah yang turut disediakan di lokasi perkhemahan berbayar.

PERALATAN YANG LENGKAP

Sama ada anda memiliki khemah sendiri atau menyewa, anda masih perlu memastikan peralatan yang lengkap dibawa bagi tujuan perkhemahan. Antaranya peralatan memasak tahan lasak (seperti pisau, papan pemotong), dapur untuk memasak, alas dalam khemah, beg tidur (sleeping bag) atau tilam udara, lampu dan kipas outdoor, peralatan untuk kebersihan diri, tukul pelbagai guna, beg penyejuk (cooler bag), penghalau serangga dan sudah tentu stok makanan serta minuman yang mencukupi.

PETI KECEMASAN ATAU FIRST AID KIT

Kredit foto: lazada.com.my

Kecederaan boleh datang tanpa diduga. Jadi jangan ambil mudah soal peti kecemasan ini. Tidak perlu terlalu besar, cukuplah yang bersaiz mini asalkan di dalamnya lengkap dengan kelengkapan pertolongan cemas. Siapa tahu, mungkin berlaku luka kecil ketika anak-anak anda sedang bermain di pantai atau sungai, ketika inilah peti kecemasan ini diperlukan.

MEMAKAIN PAKAIAN SESUAI

Pastikan anda dan anak-anak memakai pakaian sesuai untuk aktiviti serta cuaca di tempat perkhemahan. Ia penting demi memberi keselesaan maksimun sepanjang melakukan aktiviti. Gunakan masa yang ada ini bagi memenuhi aktiviti misalnya mencari siput di tepian pantai, memancing, melihat hidupan kecil di hutan serta banyak lagi. Malah terdapat campsite yang mempunyai pelbagai kemudahan aktiviti riadah yang boleh anda dan seisi keluarga cuba.

JAGA KEBERSIHAN DAN ALAM SEMULA JADI

Keutamaan yang wajib anda sekeluarga penuhi! Pastikan sampah, sisa makanan dan segala kotoran dibuang di dalam tong sampah.

Jika kemudahan tong sampah tidak disediakan, maka sudah menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk menyediakan tong sampah khas sebelum dibuang ke tempat yang sepatutnya.

Pastikan tempat perkhemahan anda tidak meninggalkan kesan dan bersih seperti mana keadaan asal seperti anda tiba.

Inilah masanya untuk anda mendidik anak-anak tentang amalan kebersihan dan cintakan alam semula jadi. Jika bukan anda yang memelihara alam sekitar, siapa lagi!

Kredit main pic: todaysparents.com

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
sajilibur.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!